PETALING JAYA – Tekanan mengajar di sekolah bandar merupakan antara faktor utama sebilangan guru memohon untuk bertukar ke sekolah luar bandar atau negeri kelahiran mereka.
Presiden Ikatan Guru-Guru Muslim Malaysia (i-Guru), Azizee Hasan berkata, selain faktor kos sara hidup, golongan pendidik ini mendakwa terbeban dengan pelbagai komitmen kerja selain bilangan pelajar yang ramai.
Selain itu, tambahnya, guru-guru berkenaan turut tertekan apabila kerjaya mereka kini menuntut kemahiran tinggi dalam dalam bidang teknologi ekoran pandemik sejak tahun lalu.
“Ramai guru dari negeri Pantai Timur ingin pulang ke negeri itu berikutan suasana di sekolah luar bandar tidak seperti bandar.
“Sekolah di bandar terdiri daripada jumlah murid yang besar dan kelompok elit.
“Selain itu, tuntutan kerja yang memerlukan mereka mengamalkan kaedah pembelajaran norma baharu antaranya Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR) menjadi cabaran utama golongan ini,’’ katanya ketika dihubungi Kosmo! semalam.
Berita Berkaitan: Ramai guru di Johor, Selangor dan KL mahu bertukar
Mengulas lanjut kata Azizee, permohonan guru-guru ini tidak dapat dipenuhi berikutan tiada kekosongan jawatan di negeri yang dipohon terutamanya Kelantan dan Terengganu.
Ekoran itu, jelasnya, guru-guru berkenaan yang kini mengajar di sekolah bandar terpaksa menunggu lama untuk meneruskan profesion perguruan di negeri kelahiran masing-masing.
“Cabaran utama Kementerian Pendidikan adalah untuk mengisi kekosongan mengikut kemahiran subjek seseorang guru tersebut serta mengikut keperluan lokaliti sekolah.
“Sebagai contoh di Kelantan dan Terengganu kita memerlukan guru yang mempunyai kemahiran Berbahasa Inggeris yang baik.
“Bagaimanapun, berdasarkan kelayakan permohonan, tiada yang boleh mengisi keperluan berkenaan,” jelasnya.
Kosmo! semalam melaporkan guru sekolah menengah di Johor, Selangor dan Kuala Lumpur didapati paling tinggi membuat permohonan untuk keluar bertukar antara negeri.
Dalam pada itu, seorang guru yang ingin dikenali Sarimah memberitahu, cabaran utama yang dihadapi mereka adalah komitmen kerja yang bertambah apabila diminta untuk menjalankan kerja-kerja pejabat seperti pengkeranian.
Katanya, permohonan guru untuk bertukar adalah kerana mahu berbakti di negeri kelahiran selain lebih dekat dengan keluarga. -K! ONLINE