fbpx

Rakam keterangan Ahli Parlimen Sepanggar prosedur biasa – polis

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Mazlan (tiga dari kiri) merasmikan surau perumahan pegawai rendah IPD Maran sambil disaksikan Ketua Polis Pahang, Datuk Ramli Mohamed Yoosuf (dua dari kiri) di IPD Maran, di Maran hari ini.

MARAN – Polis menjelaskan tindakan merakam keterangan Ahli Parlimen Sepanggar, Datuk Mohd. Azis Jamman hanya prosedur biasa bagi melengkapkan siasatan selepas menerima laporan.

Timbalan Ketua Polis Negara, Datuk Seri Mazlan Lazim berkata, pihaknya ada menerima laporan terhadap Mohd Azis dan siasatan dijalankan mengikut prosedur biasa.

“Report polis itu ada, jadi kita jalankan siasatan biasalah, lepas siasatan kita rujuk kepada pihak AGC (Pejabat Peguam Negara).

“Saya tidak mahu komen lebih sebab ini adalah kerana apabila adanya laporan polis dan kita rasa ada keperluan untuk menjalankan siasatan, kita buatlah siasatan, ini baru siasatan, belum ambil tindakan lagi,” katanya dalam sidang akhbar selepas melakukan lawatan ke perumahan polis terbengkalai di Ibu Pejabat polis Daerah (IPD) Maran, di sini, hari ini.

Mazlan berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai tindakan polis mengambil keterangan Mohd Azis susulan ucapan dibuat Ahli Parlimen itu ketika membahaskan usul Bajet 2022 di Dewan Rakyat.

Ketua Wira Parti Warisan Sabah (WARISAN) itu dalam sidang akhbar di lobi Parlimen pada Selasa lalu mendakwa beliau diminta memberi keterangan kira-kira satu jam oleh pihak polis selepas membangkitkan mengenai isu Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) dan pengagihan peruntukan kerajaan terhadap Sabah pada perbahasan Bajet 2022 dua minggu lalu.

Semalam, Ahli Parlimen pembangkang membangkitkan Peraturan Mesyuarat dan meminta Yang Dipertua Dewan Rakyat, Tan Sri Azhar Azizan Harun campur tangan dalam isu berkenaan.

Perkara itu dibangkitkan Lim Guan Eng sejurus selepas sesi soal jawab persidangan Dewan Rakyat dengan merujuk Peraturan Mesyuarat 36.10 mengenai isi-isi ucapan ahli Parlimen di dalam Dewan Rakyat.

Guan Eng dilaporkan berkata, Azhar boleh membuat satu ketetapan mengenai perkara itu dan polis perlu merujuk kepada Yang Dipertua Dewan Rakyat terlebih dahulu sebelum mengambil sebarang tindakan.

Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim pula berkata, sekiranya terdapat sebarang masalah mengenai kenyataan dibuat Ahli Parlimen Sepanggar, perkara itu perlu dibangkitkan pihak kerajaan dan dirujuk kepada jawatankuasa Parlimen untuk tindakan lanjut. – K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI