fbpx

Guru besar saman bekas YDP PIBG RM500,000

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Peguam Tetuan Alias Ibrahim & Co menunjukkan tuntutan saman fitnah yang dikemukakan anak guamnya terhadap seorang bekas YDP PIBG sebuah sekolah rendah di Wakaf Bharu, Tumpat.

KOTA BHARU – Tidak tahan dengan fitnah yang dilemparkan terhadapnya sejak beberapa bulan lalu, seorang guru besar di sebuah sekolah rendah di Wakaf Bharu, Tumpat bertindak nekad dengan memfailkan saman sebanyak RM500,000 terhadap bekas Yang Dipertua (YDP) Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) sekolahnya.

Suzana Adzmin@Azmin, 48, selaku plaintif memfailkan saman itu terhadap defendan, Abd. Rahim Hussin, 56, melalui Tetuan Alias Ibrahim & Co pada 13 November lalu.

Menurut Suzana, dia mengambil tindakan itu selepas mendapat maklumat bahawa defendan dipercayai merupakan antara individu yang bertanggungjawab dalam urusan menaikkan tiga kain rentang berbaur fitnah terhadapnya di dalam kawasan sebuah kampung di Wakaf Bharu pada 25 Jun, 3 Julai dan 22 Ogos lalu.

Ujarnya, tulisan dalam kain rentang itu menyatakan bahawa dia merupakan guru besar yang menghasut orang, pilih kasih, memutar belit fakta, menyalah guna wang sekolah selain meminta agar dia ditukarkan ke sekolah lain.

“Semua dakwaan itu tidak benar apabila pihak Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) Kelantan telah menjalankan siasatan kewangan dan integriti di sekolah sebelum mendapati saya tidak terlibat dalam sebarang kes salah guna kuasa.

“Saya pernah menegur ahli jawatan kuasa PIBG mengenai hal ehwal pengurusan persatuan itu dalam mesyuarat sebelum ini. Mungkin itu menjadi motif YDP PIBG menaikkan kain rentang berbaur fitnah yang ditujukan kepada saya,” katanya pada sidang akhbar di Tetuan Alias Ibrahim & Co di sini hari ini.

Menurut Suzana, ekoran daripada kejadian itu, dia telah diarahkan untuk berada di Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) Tumpat selama 86 hari tanpa berbuat apa-apa sepanjang tempoh itu sehingga tidak dapat melaksanakan tugasnya di sekolah seperti sedia kala.

Katanya, keadaan itu menyebabkan dia malu untuk berdepan dengan masyarakat malah ada dalam kalangan rakan-rakannya melarikan diri selepas mempercayai fitnah yang disampaikan menerusi kain rentang tersebut.

“Kejadian itu juga menjadikan emosi saya tidak stabil malah pakar psikiatri di Hospital Universiti Sains Malaysia, Kubang Kerian mengesahkan saya mengalami tekanan perasaan yang melampau.

“Selepas kejadian itu, saya telah mendapat arahan untuk ditukarkan ke sebuah sekolah di daerah sama dan akan memulakan semula tugas pada Ahad ini. Keadaan itu amat mengelirukan apabila saya sendiri masih belum sempat menabur bakti di sekolah lama akibat Perintah Kawalan Pergerakan berterusan pada tahun ini, namun telah ditukarkan ke sekolah lain,” katanya.

Menurut ibu kepada tiga cahaya mata itu, saman sebanyak RM500,000 difailkan terhadap defendan bertujuan untuk membersihkan semula namanya, ganti rugi teladan dan segala kesan buruk yang dialaminya akibat sebaran fitnah.

Sementara itu, peguam Alias Ibrahim berkata, dia percaya anak guamnya mempunyai bukti yang mencukupi untuk membawa kes tersebut ke mahkamah.

Menurutnya, kes yang dialami anak guamnya boleh dijadikan pengajaran oleh masyarakat apabila seorang guru berada dalam keadaan teraniaya dalam aspek emosi, kerjaya dan sosial akibat perbuatan yang tidak dilakukannya. – K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI