fbpx

Dean Schneider ‘kekasih’ haiwan liar Afrika

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
SCHNEIDER menunjukkan kasih sayangnya kepada haiwan-haiwan liar Afrika seperti singa dan dubuk.

PRIHATIN dengan nasib haiwan yang diancam kepupusan ekoran pemburuan haram serta hidup penuh menyayat hati kerana tidak dijaga dengan baik membuatkan Dean Schneider, 29, tekad untuk melancarkan misi bagi menangani masalah tersebut.

Jejaka kelahiran Zurich, Switzerland itu membuat pengorbanan besar dengan meninggalkan kehidupannya sebagai usahawan dan perancang kewangan untuk berpindah ke Afrika Selatan biarpun terpaksa memperjudi masa depannya sendiri.

Dia juga sanggup menjual atau menggadai segala harta bendanya demi membiayai projek perlindungan dan pemuliharaan hidupan liar di Afrika Selatan pada tahun 2017.

Kehadiran Schneider memberi sinar kepada haiwan di negara tersebut kerana 43 peratus singa Afrika menjadi mangsa pemburuan haram dan gajah juga menerima nasib serupa.

Ketika kebanyakan orang pada usianya lebih gemar mengejar kekayaan dan kesenangan hidup, berbeza pula bagi Schneider yang sangat mengambil berat perihal haiwan yang saban hari diancam kepupusan serta diperlakukan dengan kejam oleh tangan-tangan manusia.

Bekas pegawai bank itu juga jatuh cinta dengan haiwan dan hidupan liar sejak usia kanak-kanak sehingga banyak memberi sokongan kepada projek-projek perlindungan haiwan yang sangat bermakna bagi dirinya.

KEMESRAAN Schneider bersama haiwan liar seperti singa di pusat perlindungan dan pemuliharaan hidupan liar, Hakuna Mipaka menyentuh hati banyak pihak.

Ekoran minatnya yang sangat mendalam terhadap hidupan liar, dia sanggup meninggalkan tempat kelahirannya dan menetap di Afrika Selatan pada usia 25 tahun untuk memulakan projek berkenaan.

“Pada mulanya, keluarga dan rakan-rakan tidak menyokong keputusan saya tetapi akhirnya mereka sedar bahawa perkara ini sangat penting untuk dilakukan lantas mereka memberi restu,” kata lelaki tampan berketinggian 185 sentimeter itu.

Di Afrika Selatan, Schneider memulakan projek perlindungan dan pemuliharaan hidupan liar dengan nama Hakuna Mipaka dalam bahasa Swahili yang bermaksud tiada had.
Hakuna Mipaka merupakan projek terbesar yang menjadi rumah kepada pelbagai spesies haiwan termasuklah yang menjadi mangsa penderaan.

Kebanyakan binatang itu diselamatkan dari zoo persendirian yang mana ada pihak menjalankan pembiakan haiwan liar kemudian mengurungnya dalam keadaan amat menyedihkan selain mengabaikan kebajikan haiwan tersebut.

ANTARA haiwan yang diselamatkannya ialah cheetah.

Sehubungan itu, Hakuna Mipaka seluas 400 hektar menjadi tempat perlindungan kepada beberapa spesies haiwan yang telah diselamatkannya termasuk singa, cheetah, harimau bintang, dubuk, rakun, monyet, ular, badak sumbu dan iguana.

Orang sering bertanya kepada Schneider, mengapa dia tidak melepaskan haiwan-haiwan tersebut ke kawasan liar dan penjelasannya sangat mudah, binatang yang selama ini hidup terkurung tidak pandai memburu dan amat memerlukan bantuan manusia untuk meneruskan hidup.

Menurutnya, ada sebilangan orang di Afrika yang membiakkan haiwan liar dalam kurungan untuk mengaut keuntungan dan mereka membiarkan binatang itu berada dalam keadaan sangat teruk tanpa penjagaan sebaiknya.

Perkara itu bukan satu-satunya mimpi buruk yang dihantui haiwan di situ kerana ia turut berdepan ancaman pemburu haram sehingga menyebabkan ribuan terkorban dan hampir pupus.

KECINTAAN terhadap haiwan sejak kecil membuatkan Schneider tekad membuka tempat perlindungan dan pemuliharaan hidupan liar di Afrika Selatan sejak 2017.

“Pemburu haram menjual kuku dan gigi haiwan di pasaran gelap demi mengaut keuntungan. Ini ekoran ada permintaan masyarakat yang mengamalkan kepercayaan karut untuk perubatan tradisional.

“Malangnya, bahagian tertentu haiwan pula bukan dijual di pasaran tempatan tetapi dieksport secara haram ke Asia,” ujarnya yang merupakan pengasas Yayasan Dean Schneider.

Tambahnya, permintaan terhadap bahagian tubuh badan tertentu haiwan itu terus meningkat kerana kurangnya pendidikan dan pemahaman masyarakat dalam perkara tersebut.

Katanya, belum ada bukti saintifik mengatakan bahagian badan haiwan tersebut boleh menyembuhkan penyakit tertentu seperti didakwa.

KASIH sayang Schneider kepada pelbagai haiwan liar Afrika tulus dan tidak berbelah bahagi.

Dalam pada itu, tahun lalu, nama Schneider popular di Instagram apabila ramai yang kagum dengan kehidupan hariannya bersama haiwan liar seperti singa.

Dia melakukan pelbagai aktiviti bersama hidupan liar di dalam Hakuna Mipaka termasuk berlari, bermain dan bergurau senda yang mana agak mustahil untuk kebanyakan orang berbuat demikian.

Justeru, pengikut akaun Instagram jejaka itu melonjak kepada 9.9 juta orang di seluruh dunia sekali gus menjadi medium untuknya mendidik dan meningkatkan kesedaran masyarakat mengenai haiwan liar.

Bagi melindungi haiwan di pusat perlindungan tersebut, terdapat enam orang pengawal keselamatan yang lengkap dengan senjata api bersiap siaga mengusir pemburu haram.

Hakuna Mipaka seluas 400 hektar menjadi tempat perlindungan kepada beberapa spesies haiwan liar yang perlu dilindungi.

Oleh itu, haiwan di Hakuna Mipaka sangat bertuah dan bagaikan berada di dalam syurga kerana bukan sahaja dilindungi, tetapi turut diberikan penjagaan serta rawatan terbaik.

Haiwan di situ dibiarkan bebas bergerak menikmati kehidupan liar dengan berjalan di atas rumput dan bermain di tanah serta menikmati alam semula jadi tanpa dikurung dalam sangkar.

Salah satu haiwan yang diselamatkan oleh Schneider dan pasukannya ialah seekor singa bernama Dextar yang diambil dalam keadaan menyedihkan dari tempat pembiakan singa.

Kini, Dextar berubah menjadi singa yang sangat comel dan mesra dengan seekor dubuk bernama Chuckie.

Selain menyelamatkan haiwan dan menjaganya, Schneider turut menggerakkan misi untuk memberi kesedaran kepada masyarakat tentang bahaya dihadapi haiwan disebabkan kerakusan manusia.

“Memandangkan kita manusia adalah punca kepada kebanyakan masalah dihadapi haiwan, kita juga satu-satunya spesies cukup berkuasa untuk membuat perubahan menyelamatkannya.

“Segalanya bermula daripada kita (manusia) dan kita jugalah mampu menghentikannya,” tuturnya.

Dalam pada itu, Schneider turut menyiarkan video pendidikan tentang hidupan liar secara kerap untuk menanam rasa cinta terhadap haiwan dalam kalangan masyarakat.

“Misi saya adalah untuk memberi inspirasi dan mendidik mereka tentang hidupan liar dan keindahan alam haiwan.

“Saya percaya pada kuasa pengetahuan (ilmu), semangat dan cerita visual untuk mengubah persepsi orang ramai dalam menyelamatkan kehidupan haiwan liar,” tegasnya.

Katanya lagi, dia ingin membawa haiwan ke dalam hati manusia kerana seseorang akan sayang apa yang dia kenal dan memberi perhatian kepada perkara yang menyentuh emosi.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI