Oleh MOHD. FITRIE MUHAMAD
MALAYSIA tidak menunggu lama untuk menggerakkan usaha pemburuan pingat emas pertama Sukan Olimpik dengan menyediakan pelbagai kemudahan bertaraf antarabangsa mengikut keperluan terkini.
Terbaharu, Institut Sukan Negara (ISN) sudah pun melancarkan Pusat Pemulihan Prestasi Tinggi Bersepadu yang bernilai lebih RM13 juta dan menawarkan khidmat pemulihan kecederaan bertaraf antarabangsa kepada atlet berprestasi tinggi serta orang awam.
Pengenalan pusat pemulihan ini dilihat seiring dengan ekosistem sukan di peringkat antarabangsa yang berkembang pesat mengikut kemajuan sains, perubatan dan teknologi serta inovasi terkini.
Menteri Belia dan Sukan Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu berkata, beliau percaya kemudahan bertaraf dunia yang dimiliki ISN ini bakal beri inspirasi dan mencorakkan ekosistem sukan negara ini.
“Tentu sekali setiap usaha yang kita lakukan adalah untuk capai impian kita tapi jauh lebih penting daripada itu ialah untuk pastikan tahap atlet kita berada dalam terbaik.
“Nak jaga kesihatan atlet kita, usaha juga nak dapatkan emas pertama dan seterusnya apa yang ISN lakukan ini akan ditambah baik dari semasa ke semasa.
“Saya juga telah meminta ISN memastikan penyelenggaraan fasiliti itu berada di tahap terbaik setiap masa untuk jangka masa panjang. Ia satu-satunya di Malaysia dan tentu sekali fasiliti yang baru ini adalah amat membanggakan
“Penambahbaikkan di ISN ini dibuat demi mencapai tujuan itu. Tentunya ini berita baik buat para atlet dan juga kepada awam,” katanya pada sidang media Majlis Sambutan Ulang Tahun Ke-10 ISN hari ini.
Pada Sukan Olimpik 2020 di Tokyo sebelum ini, kontinjen negara berjaya membawa pulang satu pingat perak dan satu gangsa.
Pingat perak disumbangkan oleh jaguh lumba basikal negara, Datuk Azizulhasni Awang dalam acara keirin, manakala gangsa dimenangi pasangan beregu badminton lelaki negara, Aaron Chia dan Soh Wooi Yik.