fbpx

Harga sayur paling mahal dalam 30 tahun

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
CHO PO HUAT menunjukkan sayur sawi dan bunga kubis yang merupakan antara jenis sayur yang mengalami kenaikan harga di Pasar Kuala Perlis, Kuala Perlis semalam.

KUALA PERLIS – Peniaga di Pasar Kuala Perlis, di sini mendakwa kenaikan harga beberapa jenis sayur sejak tiga minggu lalu adalah paling tinggi dalam tempoh 30 tahun.

Tinjauan ke pasar tersebut mendapati harga sayur seperti kubis, sawi, bunga kubis dan brokoli naik antara RM2 hingga RM8.

Kenaikan harga itu menyebabkan ada peniaga tidak mengambil sayur berkenaan bagi mengelakkan kerugian.

Seorang peniaga, Cho Po Huat, 74, berkata, harga bunga kubis kini dijual pada harga RM20 seki­logram berbanding RM12 sekilogram kira-kira sebulan lalu.

Katanya, harga brokoli pula meningkat kepada RM20 hingga RM22 sekilogram berbanding RM8 sebelum ini menyebabkan dia memilih untuk tidak menjual sayur tersebut ketika ini.

“Sayur sawi dari Thailand pun naik kepada RM6 sekilogram berbanding RM4 sejak tiga minggu lalu. Ada pelanggan kata kami saja jual mahal, sedangkan kami juga memperoleh harga yang mahal daripada pembekal.

“Kenaikan harga ini membuatkan kami pun pening kepala. Sudah 30 tahun jual sayur, ini kali pertama saya lihat kenaikan yang paling tinggi,” katanya.

Sementara itu, Low Peik Ngo, 52, berkata, dia memilih sayur sawi dari Thailand berbanding Cameron Highlands yang jauh lebih murah harganya.

“Sawi dari Cameron Highlands ditolak kepada kami pada harga RM8 sekilogram, kalau ambil nanti terpaksa jual pada harga yang lebih mahal berbanding sawi dari Thailand yang ditolak oleh pembekal pada harga antara RM4 ke RM5 sekilogram.

“Banyak sayur yang naik harga dan tidak pernah terjadi seperti ini sebelum ini. Oleh itu, saya berharap kerajaan dapat mengawal kenaikan harga tersebut supaya tidak membebankan peniaga seterusnya pelanggan,” ujarnya.

Dalam pada itu, Pengarah Pejabat Perdagangan Dalam Nege­ri dan Hal Ehwal Pengguna (PPDNHEP) Perlis, Norazah Jaapar berkata, terdapat kenaikan harga beberapa jenis sayur di ne­geri ini dengan julat kenaikan antara RM2 hingga RM8 sekilogram.

“Trend kenaikan tersebut dikesan berlaku dengan ketara sejak minggu lalu iaitu sayur kubis, sawi, brokoli, kacang buncis dan cili merah,” tambahnya. -K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI