fbpx

Kerja banyak, kita sahaja yang tak mahu

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
GAMBAR HIASAN
MOHD. SYALMIZI
HAMID,
WAKIL PULAU PINANG

BIARPUN ramai yang mengeluh dan mendakwa terpaksa me­nganggur berikutan tiada peluang pekerjaan, namun dalam masa sama, ramai majikan tidak se­nang duduk kerana tidak ramai yang berminat memohon pekerjaan yang ditawarkan.

Di Pulau Pinang misalnya, industri perhotelan mendakwa berdepan kekurangan pekerja 3D (kotor, bahaya dan sukar) yang serius iaitu antara 30 hingga 40 peratus selepas kebenaran ren­tas negeri bermula Oktober lalu.

Ia sekali gus menyebabkan kelewatan proses daftar masuk pelanggan apabila ramai pekerja sektor itu beralih kepada bidang perkilangan apabila pandemik Covid-19 melanda negara.

Analisis Data Raya Job Market Insights dan My Job Profile: Lanskap Penawaran Pekerjaan di Malaysia oleh Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) mendapati, kekosongan jawatan yang diiklankan secara online mening­kat mendadak pada suku kedua 2021 iaitu sebanyak 90,502 berbanding 19,169 suku kedua 2020.

Ketua Perangkawan Malaysia, Datuk Seri Dr. Mohd. Uzir Mahidin berkata, peningkatan itu melangkaui jumlah kekosongan jawatan yang diiklankan pada suku keempat 2019 iaitu 90,437 sebelum bermulanya pandemik.

Sementara, kira-kira 200 pe­ngusaha restoran nasi kandar di Pulau Pinang juga tertekan apabila kehilangan separuh dari­pada tenaga kerja selepas pekerja­ warga asing pulang ke negara asal sejak Covid-19 tercetus.

Lebih memburukkan keadaan apabila restoran-restoran berke­naan yang sebelum ini lengang dan hanya didatangi pelanggan tempatan ekoran sekatan Perintah Kawalan Pergerakan kini sesak hampir setiap hari.

Menurut, Presiden Pertubuhan Komuniti India Muslim Malaysia, Mohamed Rizdwan Abdul Ghafoor Khan, ketika ini seorang pekerja restoran nasi kandar perlu­ melakukan sekurang-kurang­nya tiga tugasan.

“Ia mengakibatkan kepantasan dan kecekapan bahagian penyediaan makanan terganggu dan pelanggan perlu beratur le­bih lama untuk menunggu giliran.

“Situasi akan menjadi lebih ‘tenat’ apabila cuti sekolah tiba nanti dan pengunjung pastinya akan lebih ramai datang ke Pulau Pinang,” katanya baru-baru ini.

Beliau berkata, walaupun negara kita mempunyai ba­nyak tenaga kerja tempatan yang masih menunggu untuk mengisi kekosongan, namun mereka dilihat tidak berminat.

“Banyak pengusaha mengiklankan jawatan kosong sejak Oktober lalu, tetapi tidak ramai rakyat tempatan yang mahu mengisi 4,000 kekosongan.

“Hanya beberapa orang yang menghubungi untuk berta­nyakan mengenai pekerjaan, itu pun sangat cerewet dan memilih tugasan.

“Apabila diberitahu kekosongan jawatan untuk pelayan, mereka tidak mahu, hanya mahu bekerja sebagai juruwang dan mahukan gaji yang tinggi,” katanya.

Sementara itu, pakar sosial, Prof. Datuk Dr. Mohammad Shatar Sabran berkata, masyarakat sepatutnya mengubah persepsi dan berhenti daripada melihat kejayaan terutamanya dalam bidang pekerjaan seseorang melalui perkara fizikal semata-mata.

“Kita perlu mengambil iktibar daripada pemikiran masyarakat negara maju yang tidak bergantung kepada benda fizikal untuk mendefinisikan kejayaan.

“Kita juga perlu merubah minda dan melihat seperti mana pekerja asing melihat negara kita sebagai ‘lubuk emas’.

“Sekiranya kita dapat ubah persepsi, peluang pekerjaan yang kosong pasti dapat diisi dengan mudah oleh rakyat tempatan yang secara tidak langsung akan melonjakkan ekonomi negara,” ujarnya. -K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI