IPOH – Jumlah kerugian mangsa kes jenayah komersial di negeri ini mencatatkan peningkatan hampir RM21 juta sepanjang tahun ini berbanding tempoh sama tahun lalu.
Ketua Polis Perak, Datuk Mior Faridalathrash Wahid berkata, sebanyak 1,748 kes dilaporkan dengan nilai kerugian melebihi RM35 juta melibatkan tangkapan seramai 1,123 orang.
“Manakala statistik kes jenayah komersial yang dilaporkan adalah sebanyak 1,813 kes dengan nilai kerugian keseluruhan melebihi RM58 juta dan seramai 1,112 orang telah berjaya ditangkap.
“Bersadarkan statistik yang dicatat terdapat peningkatan terhadap jumlah kerugian mangsa berbanding tahun lalu iaitu lebih RM20 juta dengan pertambahan 65 kes,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas hadir pada Kempen Pencegahan Jenayah Komersial (Jenayah Dalam Talian) Tahun 2021 di pusat membeli-belah AEON Kinta City, di sini hari ini.
Mior Faridalathrash juga memaklumkan, terdapat penurunan sebanyak 60 kes melibatkan jenayah dalam talian bagi tempoh sama tahun ini berbanding tahun lalu.
Bagaimana pun, menurut Mior Faridalathrash jumlah kerugian mangsa kes jenayah dalam talian mencatatkan peningkatan hampir RM1 juta.
“Sebanyak 1,057 kes dilaporkan dengan nilai kerugian melebihi RM25 juta melibatkan tangkapan seramai 682 orang.
“Masyarakat dinasihatkan untuk menjaga keselamatan diri, keluarga dan harta benda dengan tidak sesekali berkongsi maklumat peribadi serta terpedaya dengan taktik-taktik yang dilakukan oleh penjenayah” katanya. – K! ONLINE