MILAN – Inter Milan dilaporkan bersedia untuk berbincang mengenai potensi membawa masuk pemain tengah Barcelona, Arturo Vidal pada jendela perpindahan kali ini.
Pemain berusia 33 tahun itu tidak mampu untuk kekal di Camp Nou selepas pengendali baharu Barcelona, Ronald Koeman menggugurkan nama Vidal dalam senarai perancangannya.
Menurut laporan, Antonio Conte yang mengemudi Inter pernah bersama Vidal selama tiga musim ketika menjadi jurulatih Juventus sebelum ini dan mahukan semula khidmat pemain itu.
Bekas pemain Bayern Munich itu hanya membuat 33 penampilan musim ini bersama Barcelona tetapi kebanyakan masanya dihabiskan di bangku simpanan.
Paris Saint-Germain juga dikatakan cuba mengintai peluang untuk mendapatkan pemain berkenaan yang buat kali pertama sejak 2011 gagal menjulang gelaran domestik bersama pasukan yang diwakilinya musim ini.
Selain Vidal, Inter juga sedang merangka perancangan besar untuk membawa masuk bintang sensasi, Lionel Messi ketika mereka menjadi pasukan pertama dikaitkan sebelum pemain itu secara terbuka menyatakan hasratnya meninggalkan Barcelona.
Inter yang dimiliki oleh, Steven Zhang yang juga merupakan anak kepada bilionair China, Zhang Jindong tidak berdepan masalah untuk mengeluarkan dana mendapatkan pemain yang mereka idamkan untuk menguatkan lagi pasukan bagi mengharungi musim depan.
Bagaimanapun Inter mengesahkan kedudukan Conte sebagai jurulatih pasukan itu untuk musim depan selamat biarpun kecewa selepas gagal menjulang gelaran Liga Europa selepas tewas kepada Sevilla 2-3 pada aksi final sebelum ini. – AGENSI