KOTA BHARU – Polis telah mengambil keterangan 10 orang saksi bagi membantu siasatan berhubung kes seorang tahanan meninggal dunia semasa proses rakaman percakapan dan dokumentasi dijalankan di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kelantan di sini minggu lalu.
Ketua Polis Kelantan, Datuk Shafien Mamat berkata, mereka yang dipanggil dalam siasatan itu melibatkan tahanan lain yang berada bersama mangsa di dalam lokap dan beberapa anggota polis.
“Kita sudah mengambil keterangan semua saksi yang terlibat dalam kes itu dan kertas siasatan dijangka akan siap dalam tempoh satu atau dua minggu lagi.
“Pada masa sama, kita juga sedang menunggu laporan patalogi dan jabatan kimia sama ada wujud unsur jenayah di dalam kes itu atau sebaliknya,” katanya pada sidang akhbar selepas Majlis Perasmian Surau Ar-Rasyidin di Ibu Pejabat Polis Daerah Tumpat di sini hari ini.
Mengulas lanjut, Shafien berkata, siasatan kes itu perlu diselesaikan dengan segera supaya tidak wujud spekulasi dan persoalan masyarakat berhubung kematian tahanan tersebut. – K! ONLINE