SANTA FE, ARGENTINA – Berpuluh-puluh pengunjung yang sedang leka mandi-manda di sebatang sungai di Argentina gempar apabila mereka diserang oleh kawanan ikan piranha yang menggigit dan mencederakan orang ramai, lapor akhbar The Sun semalam.
Dalam kejadian tersebut, seorang remaja berusia 13 tahun dikejarkan ke hospital untuk menjalani pembedahan selepas jari kakinya dilapah oleh ikan pembunuh tersebut, manakala seorang kanak-kanak berusia tujuh tahuh hilang sebahagian daripada jarinya.
Kira-kira 30 pengunjung lain dilaporkan turut tercedera dalam serangan serentak dan secara tiba-tiba di Sungai Parana itu.
Sementara itu, wakil sebuah kesatuan bagi anggota penyelamat di kawasan tersebut, Sergio Berardi berkata, serangan itu disebabkan oleh suhu yang tinggi dan kadar air yang rendah.
“Kami sering menekankan mengenai kepentingan untuk mematuhi arahan penyelamat terutamanya dalam kalangan keluarga dengan kanak-kanak. Kini, kita telah melihat kemusnahan yang telah diakibatkan oleh piranha.
“Apabila anggota penyelamat melihat seorang atau dua pengunjung digigit piranha, mereka akan mengarahkan pengunjung lain untuk keluar dari air. Namun, tindakan itu tidak mencukupi kerana ramai pengunjung berada di situ pada waktu tersebut,” katanya.
Tambahnya, anggota penyelamat bertugas ketika kejadian turut bergegas membantu pengunjung yang cedera, dan pada masa sama terdapat yang lain turut diserang.
“Ikan piranha sering berenang di bahagian beting sungai, jadi terdapat banyak serangan dilakukan serentak,” katanya. – Agensi