JELEBU – Padah atas perbuatan sendiri, seorang mekanik yang sebelum ini ditahan di bawah Akta Pencegahan Jenayah 1959 (POCA) dijatuhi hukuman penjara 92 bulan serta denda RM7,500 oleh Mahkamah Majistret Jelebu, di sini, hari ini.
Tertuduh, Razzlee Nasip, 33, berhadapan dengan empat pertuduhan membabitkan kesalahan melarikan diri semasa dalam perintah pengawasan polis, mencuri dua buah kenderaan dan memiliki kenderaan curi.
Berdasarkan pertuduhan pertama, pada 29 Oktober lalu, kira-kira pukul 11 malam, di Taman Serting, Bandar Seri Jempol, Razzlee yang dikenakan perintah sekatan didapati gagal berada di rumah atau tempat tinggal antara pukul 8 malam hingga 6 pagi tanpa kebenaran bertulis daripada Ketua Polis Negeri Sembilan.
Tertuduh telah melakukan kesalahan di bawah Seksyen 15 POCA dan boleh dihukum di bawah seksyen 15(4) akta yang sama.
Jika sabit kesalahan boleh dipenjara tidak melebihi 10 tahun dan tidak kurang dari dua tahun.
Bagi pertuduhan kedua, pada 29 Oktober lalu, kira-kira pukul 2.15 petang, di tempat parkir motosikal di Bandar Seri Jempol, tertuduh telah mencuri sebuah motosikal jenis Yamaha Lagenda.
Bagi pertuduhan ketiga, pada 30 Oktober lalu, kira-kira pukul 6.40 pagi, di hadapan sebuah restoran di Taman Industri Mahsan, Jempol, tertuduh telah mencuri sebuah kenderaan jenis Mazda.
Tertuduh telah melakukan kesalahan di bawah Seksyen 379A(1) Kanun Keseksaan di mana jika sabit kesalahan tertuduh boleh dipenjara tidak kurang dari setahun dan tidak lebih dari tujuh tahun serta denda.
Bagi pertuduhan keempat pula, pada 8 November lalu, kira-kira pukul 1.30 tengah hari, tertuduh secara tidak jujur telah menyimpan harta curi iaitu sebuah kenderaan jenis Toyota Fortuner yang dilaporkan hilang pada 31 Oktober di Jalan Serting Tengah.
Tertuduh telah melakukan kesalahan di bawah Seksyen 411 Kanun Keseksaan iaitu jika sabit kesalahan boleh dijatuhkan hukuman penjara tidak sampai lima tahun atau denda atau kedua-duanya sekali.
Tertuduh dalam rayuannya memohon hukumannya dikurangkan memandangkan dia menanggung keluarganya dan mempunyai empat orang anak.
Majistret Muhammad Hidayat Wahab menjatuhkan hukuman penjara tiga tahun enam bulan bagi pertuduhan pertama, manakala, bagi pertuduhan kedua pula penjara setahun enam bulan dan denda RM3,000. Jika gagal bayar penjara enam bulan. -K! ONLINE