KLANG – “Saya tidak pasti (dia provokasi saya), kita siasat,”
Demikian kata Ketua Polis Daerah (KPD) Klang, Asisten Komisioner Cha Hoong Fong berhubung kenyataan seorang pemilik akaun Facebook, Aemierulrizaki Rambli mengenai kegiatan perjudian berleluasa selepas pertukaran pucuk pimpinan KPD daerah ini.
Menurut beliau, kenyataan Aemierulrizaki adalah tomahan tidak berasas dan boleh menjejaskan imej Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Klang Selatan khususnya dan Polis Diraja Malaysia amnya.
Kata Hoong Fong, IPD Klang Selatan merupakan antara daerah yang mempunyai tangkapan dan pertuduhan tertinggi bagi kes judi dan pelacuran.
“Bagi tahun ini bermula 1 Januari hingga 23 November lalu sebanyak 528 kes tangkapan perjudian dilakukan dan daripada jumlah tersebut sebanyak 512 kes tangkapan telah dituduh di mahkamah bersamaan 96.96 peratus.
“Manakala bagi aktiviti pelacuran sebanyak 49 kes tangkapan pelacuran berjaya dilakukan dan daripada jumlah tersebut sebanyak 46 kes berjaya dituduh di mahkamah,” katanya pada sidang akhbar hari ini.
Hoong Fong menegaskan, sepanjang tempoh seminggu dia berkhidmat sebagai KPD bermula 18 November lalu menunjukkan sebanyak 11 serbuan melibatkan perjudian dengan menangkap 11 suspek berusia 20 hingga 30an selain satu operasi berkaitan pelacuran berjaya dilaksanakan pihaknya.
Jelas beliau, semalam sahaja sebanyak lima tangkapan perjudian termasuk dalam talian dan nombor ekor serta merampas pelbagai peralatan perjudian dianggarkan RM15,000.
“Pemilik akaun itu telah dikenalpasti dan akan memanggilnya untuk memberikan keterangan kerana kenyataannya merosakkan imej IPD Klang Selatan dan penduduk sekitar.
“Kita hendak dia datang beri maklumat kalau ada. Kalau dia ingkar, kita akan akan keluarkan perintah memaksa kehadirannya mengikut Seksyen 111 Kanun Prosedur Jenayah,” ujarnya.
Dalam pada itu, beliau menasihatkan mana-mana individu agar tidak menyalahgunakan media sosial dengan berkongsi sebarang bentuk berita yang tidak benar sehingga boleh menimbulkan kegusaran dan suasana yang tidak tenteram kepada masyarakat.
“Sebarang maklumat berkaitan jenayah boleh disalurkan terus ke IPD Klang Selatan di talian 03-33719999 atau di balai polis yang berhampiran,” ujarnya. -K!ONLINE