PUTRAJAYA – Malaysia dan Singapura bersetuju memperakui Terma-terma Rujukan (TOR) untuk Jawatankuasa Kecil Mengenai Had Persempadanan Maritim bagi kedua-dua negara.
Perkara tersebut antara dibincangkan Kementerian Luar Malaysia dan Singapura menerusi Mesyuarat Jawatankuasa Teknikal Bersama Kesembilan yang diadakan secara maya kelmarin.
TOR itu bakal digunakan dalam penentuan sempadan Pulau Batu Puteh, Batuan Tengah dan Tubir Selatan yang dirujuk Singapura sebagai Pedra Branca, Middle Rocks dan South Ledge.
Menerusi kenyataan bersama Menteri Luar, Datuk Saifuddin Abdullah dan rakan sejawatan, Dr. Vivian Balakrishnan, kedua-dua negara turut akan bertemu sekali lagi pada tahun depan.
“Malaysia dan Singapura juga bersetuju agar mesyuarat jawatankuasa berkenaan untuk kali kesepuluh pada 2022 akan datang kelak dihoskan oleh negara ini,” kata kenyataan tersebut hari ini.
Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ) di The Hague, Belanda pada 2008 menetapkan Batu Puteh sebagai hak milik Singapura manakala Batuan Tengah menjadi kedaulatan Malaysia. – K! ONLINE