fbpx

Persekitaran perniagaan kondusif jadi agenda utama kerajaan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Ismail Sabri (kiri) ketika mempengerusikan Mesyuarat Majlis Tindakan Ekonomi (EAC) hari ini.

PUTRAJAYA – Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob menegaskan usaha mewujudkan persekitaran perniagaan yang kondusif, berdaya saing dan meningkatkan produktiviti wajar dijadikan agenda utama di setiap peringkat pentadbiran Kerajaan Pusat serta kerajaan negeri.

Sehubungan itu, beliau berkata, Mesyuarat Majlis Tindakan Ekonomi (EAC) hari ini memutuskan bahawa kementerian, Kerajaan Negeri, pihak berkuasa tempatan serta agensi Kerajaan Persekutuan dan Negeri perlu komited merealisasikan program ujikaji peraturan.

Katanya, program ujikaji peraturan yang melibatkan pemegang taruh awam dan swasta itu perlu dinilai kecekapan dan kesesuaian peraturan sedia ada secara bersama.

Seterusnya, ujar beliau, mereka haruslah mencadangkan beberapa kelonggaran peraturan berpandukan saranan oleh Pertubuhan Kerjasama dan Pembangunan Ekonomi (OECD).

“Pelaksanaan inisiatif ini diharap dapat membantu memudahcara urusan perniagaan seperti kelulusan permit pembinaan dan lesen operasi perniagaan di peringkat Persekutuan mahu pun negeri,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Ismail Sabri berkata, mesyuarat turut memutuskan bahawa Inisiatif #MyMudah akan diperkukuhkan melalui penubuhan Unit #MyMudah di semua Kementerian dan agensi Kerajaan Persekutuan.

Jelasnya, unit yang sama juga dicadangkan ditubuhkan di peringkat Kerajaan Negeri, pihak berkuasa tempatan serta persatuan industri perlu bersama-sama memudahkan operasi perniagaan.

“Unit ini berfungsi untuk mengadakan semakan peraturan secara terancang bagi memudahkan persekitaran perniagaan untuk melonjakkan produktiviti dan daya saing,” katanya.

Selain itu, katanya, EAC secara prinsip bersetuju untuk membangunkan Platform Acara Perdagangan Bersepadu (Intergrated Trade Events Platform) khusus untuk mempromosi bagi mempertingkatkan daya saing perdagangan dan nilai eksport negara secara digital selaras dengan landskap perdagangan baharu di era pendigitalan.

“Secara prinsip bersetuju mewujudkan Portal Maklumat Tunggal iaitu portal komprehensif merangkumi semua maklumat merentasi rantaian nilai eksport untuk memudahkan syarikat Malaysia terlibat secara aktif di peringkat global.

“Satu penanda aras antarabangsa juga akan dibuat terhadap negara-negara yang dikenalpasti mempunyai persekitaran perniagaan kondusif, khususnya dalam aspek digitalisasi, model perniagaan yang efisien, keterbukaan pasaran dan tahap sokongan kepada perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS),” ujarnya. – K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI