BARCELONA – Barcelona mensia-siakan peluang untuk melayakkan diri lebih awal ke pusingan kalah mati Liga Juara-Juara apabila sekadar seri tanpa jaringan menentang Benfica di Camp Nou awal awal pagi semalam.
Justeru, mereka bakal berdepan tugas berat apabila wajib mencatat kemenangan ke atas Bayern Munich di Allianz Arena pada aksi terakhir Kumpulan E yang dijadualkan berlangsung 9 Disember ini.
Jurulatih The Catalans, Xavi Hernandez tetap optimis dengan peluang pasukan tersebut bagi melepasi saingan peringkat kumpulan biarpun ramai yang mempertikaikan kemampuan mereka.
“Apa yang membuatkan saya positif dengan peluang kami adalah apabila melihat corak permainan ditampilkan semua pemain. Kami mampu untuk bersaing dengan sesiapa sahaja jika bermain seperti ini.
“Menerusi aksi yang dipersembahkan ketika menentang Benfica, saya dapat rasakan kami boleh pergi ke Munich untuk dapatkan kemenangan. Bagaimanapun, segalanya bergantung kepada semua pemain,” kata Xavi.
Mengulas aksi keseluruhan yang ditampilkan barisan pemainnya, legenda Barcelona itu percaya mereka bermain lebih baik berbanding Benfica dan layak untuk membawa pulang tiga mata.
“Kami adalah pasukan yang lebih baik pada perlawanan tersebut, cuma gagal untuk terjemahkan peluang kepada gol. Selepas ini, kami perlu mempertajamkan sentuhan di hadapan pintu gol jika mahu layak ke pusingan seterusnya,” ujarnya.
– AGENSI