LONDON – Bekas pemain tengah berpengaruh Manchester United, Paul Scholes mengakui bahawa pasukan itu tidak sepatutnya mempertimbangkan peluang untuk melantik Michael Carrick sebagai pengurus baharu pasukan itu.
Carrick berjaya dalam misi pertamanya apabila memastikan United mara ke pusingan 16 pasukan terbaik Liga Juara-Juara selepas menundukkan Villarreal 2-0 awal pagi semalam di Le Ceramica.
United dalam kenyataan sebelum ini melantik Carrick sebagai pengurus interim selepas pemecatan Ole Gunnar Solskjaer Ahad lalu ketika mereka sedang berusaha mendapatkan pengurus baharu.
Bagaimanapun, kejayaan Carrick mengemudi United meraih kemenangan awal pagi semalam sedikit sebanyak mungkin akan mempengaruhi pihak pengurusan United untuk mempertimbangkan peluangnya untuk menjadi pengurus tetap pasukan itu.
“Saya tidak fikir begitu, tapi siapa yang tahu? Ini adalah Manchester United, anda perlu mencari pengurus yang benar-benar terbaik.
“Michael Carrick, beliau adalah seorang jurulatih, baharu menjadi pengurus dalam satu perlawanan. Tidak ada pengalaman di mana-mana pun sebelum ini.
“Secara jujurnya, anda tidak boleh melantiknya. Saya sangat sayangkan Carrick tetapi saya juga mahu yang terbaik untuk pasukan ini,” kata Scholes.
Dalam pada itu, seorang lagi bekas pemain United, Rio Ferdinand percaya United tidak akan memberikan peluang kepada Carrick kerana masa untuknya masih belum tiba.
“Apa yang pasti mereka sedang mencari pengurus interim untuk membawa pasukan ini sehingga hujung musim sebelum melantik pengurus tetap kemudiannya,” jelasnya.
Dalam pada itu, United turut dilaporkan mempertimbangkan bekas jurulatih Barcelona, Ernesto Valverde sebagai pengurus baharu mereka. – AGENSI