SYDNEY – Seorang wanita melahirkan sepasang bayi kembar perempuan pada usia 50 tahun setelah hampir 11 tahun mencuba untuk hamil dengan membelanjakan lebih £40,000 (RM 225,242) bagi rawatan kesuburannya, lapor laman berita Mail Online.
Manda Epton yang menetap di Sydney mula cuba untuk hamil pada usia 39 tahun sebagai ibu tunggal selepas hubungan jangka panjangnya renggang.
Pereka fesyen itu menjalani 23 rawatan kesuburan in-vitro (IVF) dan tiga kali keguguran sebelum melahirkan bayi kembarnya pada 2018, Chloe dan Freya, yang kini berusia tiga tahun.
Sebelum ini, Epton pernah menjalani tiga ujian IVF dengan satu daripadanya dibatalkan disebabkan mengalami hiperstimulasi ovari, satu tindak balas berlebihan terhadap hormon.
Dia mempunyai enam embrio yang dimasukkan dengan dua kehamilan yang berlangsung selama lapan minggu.
Pusingan terakhir rawatan kesuburannya di sebuah klinik di Cape Town dengan pemindahan embrio penderma berganda menyebabkan kehamilan kembarnya berjaya. – Agensi