CYBERJAYA – Ratu rock tanah air, Ella mengakui situasi Covid-19 yang berlarutan hampir dua tahun turut menjejaskan kesihatan mentalnya.
Kata penyanyi berusia 55 itu, rekod kesihatan lampaunya yang pernah menghidap anxiety turut menyumbang turut menyumbang ketidakstabilan emosinya sehingga kembali diserang masalah sama.
Penyanyi Sepi Sekuntum Mawar Merah itu berdepan kerisauan rasa tidak selamat, hilang keyakinan diri dan gementar setiap kali hendak keluar dari rumah.
“Sebenarnya saya menghadapi tekanan perasaan ketika negara berdepan pandemik. Mungkin disebabkan suatu ketika dulu saya pernah melalui ‘anxiety’ yang teruk.
“Waktu itu saya sudah mencipta nama sebagai penyanyi namun masih sukar bergaul dan pemalu hingga sukar untuk berasa yakin di hadapan orang terutama ketika mahu mengadakan persembahan.
“Hanya keluarga tahu mengenai keadaan saya ini malah atas nasihat mereka saya mendapatkan bantuan sekali gus membolehkan situasi serangan panik itu dapat saya kawal sampai ke hari ini.
“Cuma serangan itu datang semula ketika awal fasa Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) apabila sesekali secara tiba-tiba tangan saya menggigil dan otak menjadi kosong sampai tak boleh buat apa-apa,” katanya.
Ella mendedahkan, banyak tawaran terpaksa ditolak kerana setiap kali keluar rumah, dia berasa tidak selesa, takut-takut dan tertanya-tanya sampai bila keadaan sebegitu akan berterusan.
“Selepas beberapa fasa PKP sejujurnya saya memang kurang selesa keluar rumah sebab masih dibelenggu rasa risau. Tapi sampai bila mahu dihimpit perasaan takut?
“Banyak kali juga saya tolak undangan membuat persembahan, namun kini selepas mengambil sejenis suplemen herba serta makanan tambahan lain, keadaan kesihatan dalaman saya semakin baik,” katanya.
Justeru, Ella menasihatkan orang ramai yang berdepan masalah agar tidak mendapatkan bantuan pakar bagi mengurangkan risiko serangan yang lebih teruk sehingga menjejaskan kualiti kehidupan.
“Nasihat saya kepada sesiapa yang mempunyai masalah sama, pergilah dapatkan bantuan pakar. Jangan anggap ia boleh diatasi sendiri kerana kesihatan mental bukan perkara main-main.
“Jangan malu atau rasa kita yang salah. Saya sendiri sedia membuat pengakuan terbuka sebegini sebagai sebahagian daripada tanggungjawab membantu insan lain,” kata usia majlis menandatangani memorundum persefahaman (MoU) antara Saudagar Santai Group (SSG) dan Ricabot sebagai pengguna dan peserta affiliate Ricabot.
Penghibur tersohor itu dilantik sebagai duta SSG yang turut bertanggungjawab menjayakan mengadakan persembahan khas bagi program Road Tour – Rock Of Crypto di beberapa lokasi di seluruh negara.
Kata pemilik nama asal Nor Zila Aminuddin, pelantikan berkenaan secara tidak langsung membuka peluang untuknya melepas rindu melakukan siri jelajah yang pernah dijayakan satu ketika dahulu.
Pembabitan dalam aktiviti sebegitu juga secara tidak langsung memberi peluang buat Ella untuk menjalani kehidupan normal dalam norma baharu musim endemik. – K! ONLINE