PETALING JAYA – Zurich Malaysia mendapati, sebanyak 59 peratus pemandu kenderaan di negara ini masih tidak mempunyai perlindungan mencukupi terhadap kerosakan akibat banjir, tanah runtuh dan juga pokok tumbang.
Menurut kenyataan syarikat itu, kaji selidik daripada responden berhubung impak pandemik terhadap perlindungan insurans mendapati, hanya satu bagi setiap tiga pengguna jalan raya (34 peratus) mempunyai perlindungan terhadap kerosakan akibat ditimpa ribut dan pokok tumbang.
Hanya 29 peratus daripada mereka dilindungi ekoran kejadian tanah runtuh.
Jelas kenyataan itu lagi, daripada aspek pembaharuan insurans dan takaful kenderaan pula, masih ramai yang menggunakan khidmat ejen untuk berbuat demikian, meskipun terdapat kemudahan untuk berbuat demikian menerusi online.
Makluman daripada 990 responden yang memiliki kenderaan bermotor mendapati, sebanyak 38 peratus memilih untuk menggunakan khidmat ejen insurans untuk urusan tersebut.
Bagaimanapun, sebanyak 43 peratus daripada pengguna jalan raya memilih kaedah portal dalam talian untuk memperbaharui insurans dan takaful kenderaan mereka.
“Ini menunjukkan, kepentingan teknologi dalam pasaran masa kini diguna pakai sebaiknya oleh anggota masyarakat.
“Di samping itu, sebanyak 16 peratus daripada masyarakat memilih untuk mengunjungi kios atau pejabat pos untuk urusan memperbaharuinya,” kata kenyataan itu.
Kaji selidik itu melibatkan 1,201 individu di seluruh negara dan 990 daripadanya adalah pemilik kenderaan.
Mengenai pelan perlindungan insurans dan takaful kenderaan, kebanyakan rakyat memilih pelan meliputi semua pemandu (36 peratus).