PETALING JAYA – PCCS Group Bhd. (PCCS) telah berjaya memulihkan prestasi kewangan Kumpulan bagi suku kedua tahun kewangan berakhir 30 September 2021 dengan mencatat untung bersih sebanyak RM1.8 juta berbanding kerugian RM2.35 juta tempoh yang sama tahun sebelumnya.
Perolehan dan keuntungan yang tinggi diperoleh daripada segmen pakaian yang mana tempahan bukunya kembali bertambah berbanding jumlah yang diterima sebelum pandemik.
Pengarah Urusan Kumpulan, David Chan Wee Kiang berkata, bagi tempoh kumulatif enam bulan pula, keuntungan bersih dicatat sebanyak RM3.78 juta berbanding kerugian yang dicatat sebanyak RM732,000 daripada tempoh yang sama sebelumnya.
Menurut beliau, bagi tempoh enam bulan, perolehan naik sebanyak 14.74 peratus kepada RM232.46 juta daripada RM202.6 juta.
Melalui kedudukan tunai yang kukuh, Kumpulan berkeyakinan akan terus berdaya saing dengan nilai RM42.71 juta untuk tempoh enam bulan.
“Pemulihan PCCS disebabkan pertambahan tempahan dalam segmen pakaian di China. Kami akan mendapat manfaat daripada persekitaran pemulihan ekonomi di negara berkenaan,” katanya dalam kenyataan.
Tambah beliau, selain menguasai bidang pembuatan pakaian, PCCS turut aktif untuk menjadi pemain dalam bidang sewa beli dan juga peranti perubatan sebelum ini.