fbpx

JDT miliki bekalan untuk aksi di Johor

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
PEMAIN JDT, Matt Davis (kiri) diasak oleh pemain TFC, Mohamad Shahrul Nizam Ros Hasni pada aksi separuh akhir pertama Piala Malaysia yang berkesudahan seri 1-1 di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin, Gong Badak kelmarin. – PUQTRA HAIRRY

Oleh TENGKU DANISH BAHRI TENGKU YUSOFF

KEJAYAAN menyekat pemain sayap Terengganu FC (TFC) menjadi kunci dominasi Johor Darul Ta’zim (JDT) sewaktu terikat 1-1 pada aksi separuh akhir pertama Piala Malaysia di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin, Gong Badak kelmarin.

Pengendali JDT, Benjamin Mora berkata, beliau sudah mengkaji kekuatan pasukan tuan rumah yang sering menggunakan kepantasan Faisal Abdul Halim dan kelincahan Mohd. Faiz Nasir sebagai senjata ampuh di jentera serangan mereka.

Beliau juga memuji barisan pertahanannya yang menunjukkan aksi cemerlang mengawal pergerakan kedua-dua pemain itu bagi membolehkan skuad Harimau Selatan mendominasi permainan.

“Kami tahu dengan keadaan padang yang baik, TFC akan menyerang dan bermain dengan pemain sayap mereka yang laju, namun pemain saya telah bertahan dengan baik.

“Permulaan kami agak buruk dalam 15 minit pertama sebelum berjaya memperkemaskan semula rentak dan babak kedua milik JDT sepenuhnya,” katanya selepas perlawanan kelmarin.

Mora berkata, bekalan satu gol berharga di tempat lawan memberikan kelebihan buat JDT yang sudah dianggap sebelah kaki melangkah ke perlawanan akhir.

Tambah pengendali dari ­Mexico itu, skuadnya hanya perlu mengekalkan corak permainan menyerang dan tidak mensia-siakan peluang terhidang bagi merealisasikan kemaraan ke final.

“Kami sepatutnya boleh menambah jaringan pada malam ini (kelmarin). Saya tidak pasti jika satu gol adalah mencukupi, tetapi gol itu meletakkan JDT dalam situasi yang baik.

“Jika JDT dapat menjaringkan satu gol lagi dalam aksi timbal balik, TFC memerlukan dua gol tetapi saya optimis barisan pertahanan kami tidak mudah dibolosi,” tambahnya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI