KUALA PILAH – Video tular di media sosial membabitkan sebuah kereta yang terbabas masuk ke laluan bertentangan lalu mengakibatkan kemalangan telah dikenakan tindakan sewajarnya.
Ketua Polis Daerah Kuala Pilah, Superintendan Amran Mohd Ghani berkata, Bahagian Siasatan Penguatkuasaan Trafik (BSPT) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuala Pilah telah menerima laporan pada pukul 3.30 petang 20 November lalu membabitkan kemalangan sebuah kereta dengan dua buah kenderaan lain.
Menurutnya, kemalangan berkenaan berlaku di kilometer 27, Jalan Seremban-Kuala Pilah dan video berkenaan telah tular di media sosial.
“Hasil daripada siasatan, pemandu kereta berwarna putih tersebut iaitu seorang lelaki berusia 38 tahun yang dalam perjalanan dari Seremban ke Pahang telah mengalami ‘microsleep’ dan dikenakan tindakan denda RM300 di bawah Peraturan 10 Kaedah Lalulintas 1666/59.
“Dalam kesalahan berkenaan pemandu kereta tidak boleh tidur yang bermaksud pemandu kenderaan yang berjalan di jalan raya tidak boleh tidur atau lalai daripada mengawal kenderaan yang sedang berjalan itu,” katanya ketika dihubungi di sini tadi.
Amran berkata, pihaknya memohon kepada semua untuk tidak membuat spekulasi serta provokasi berhubung kes berkenaan bagi memastikan kes tersebut dapat diselesaikan dengan baik.
Terdahulu, tular di media sosial Facebook sejak Ahad video berdurasi 25 saat yang mendapat tontonan lebih 15,000. – K! ONLINE.