PARIS – Pemain pertahanan Paris Saint-Germain (PSG), Sergio Ramos dijangka melakukan debut bersama pasukan itu menentang Manchester City pada aksi Liga Juara-Juara di Etihad awal pagi esok.
Ramos yang menyertai pasukan itu secara percuma pada jendela perpindahan musim panas belum melakukan sebarang penampilan kerana masih mengalami kecederaan lutut serius.
Justeru, jurulatih PSG, Mauricio Pochettino pastinya menagih khidmat Ramos pada perlawanan awal pagi esok bagi mengekang jentera serangan City yang bakal diketuai Gabriel Jesus.
Bagaimanapun, Ramos mungkin memerlukan sedikit masa bagi menyesuaikan diri dengan suasana perlawanan kerana tidak beraksi hampir tujuh bulan sehingga terlepas Euro 2020.
“Ramos sudah kembali menjalani latihan bersama rakan pasukan dan dia melakukan tugas yang sangat baik. Dia menunjukkan perkembangan positif dan berpeluang untuk beraksi menentang City.
“Dia adalah juara dunia selain memiliki karakter yang cukup hebat. Mungkin sukar untuk dia dapatkan semula prestasi sebelum ini kerana lama berehat akibat kecederaan yang dialaminya itu,” kata Pochettino.
PSG pastinya terdesak untuk mencatat kemenangan ke atas skuad kendalian Pep Guardiola itu dalam usaha mereka memintas kedudukan sebagai pendahulu saingan Kumpulan A.
– AGENSI