fbpx

Zii Jia rebah di pusingan pertama Terbuka Indonesia

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
ZII JIA terpaksa akur tersingkir daripada Terbuka Indonesia seawal pusingan pertama di Pusat Konvensyen Antarabangsa Bali, Indonesia hari ini.

LANGKAH perseorangan lelaki No.1 negara, Lee Zii Jia pada kejohanan badminton Terbuka Indonesia di Bali terhenti seawal pusingan pertama apabila tewas kepada pemain Denmark, Rasmus Gemke hari ini.

Pada perlawanan yang berlangsung di Pusat Konvensyen Antarabangsa Bali itu, Zii Jia terpaksa akur dengan kekalahan 21-13, 23-25, 16-21 biarpun sudah mengerah segala kudratnya.

Ketua jurulatih perseorangan lelaki kebangsaan, Hendrawan mengakui pemain lawan menampilkan aksi lebih baik pada perlawanan itu, sekali gus menafikan peluang anak buahnya untuk melangkah ke pusingan kedua.

Bagaimanapun, beliau mampu menarik nafas lega apabila Zii Jia yang juga juara kejohanan Seluruh England (All England) sudah pulih daripada kecederaan belakang yang dialami sebelum ini.

“Ya, memang harus diakui pemain lawan menampilkan aksi lebih baik berbanding Zii Jia pada hari ini (semalam) tetapi kita sudah cuba buat yang terbaik dalam semua set perlawanan.

“Apa yang penting sekarang adalah dia sudah tidak ada kecederaan belakang yang dialami sebelum ini. Semuanya sudah kembali seperti biasa dan kita akan fokus pada kejohanan akan datang,” katanya ketika dihubungi Kosmo!

Justeru, pemain yang berada di ranking ketujuh dunia itu kini memiliki masa lebih kurang seminggu untuk melakukan persiapan terakhir menjelang kejohanan Jelajah Dunia Akhir yang turut berlangsung di Bali bermula 1 hingga 5 Disember depan.

“Kita jadikan kekalahan ini sebagai pengajaran untuk bersiap sedia bagi menghadapi saingan Jelajah Dunia Akhir. Sekiranya bermain, kita akan cuba lagi untuk mara lebih jauh,” ujar legenda badminton Indonesia itu. – K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI