CINTA datang tanpa diduga. Namun jika cinta ada, kehadirannya bagaikan sakti. Siapa sangka, perkenalan yang terjalin di Stadium Bukit Jalil, Kuala Lumpur sekitar tiga tahun lalu memutikkan bibit-bibit cinta antara pasangan mempelai ini.
Bagi pelakon Puteri Aishah, 27, perkenalan dengan suami tercinta, Muhammad Firdaus ada kisah tersendiri yang disimpan rapi dalam hati sehinggalah mereka akhirnya disatukan pada 20 November lalu.
Ujar Puteri Aishah, awalnya dia diperkenalkan dengan Firdaus oleh seorang kenalan mereka. Memandangkan kedua-dua mereka masih solo ketika itu, terdapat ruang hati yang masih kosong dalam diri masing-masing.
Suami pemalu
Hubungan mereka pada waktu itu tidak lebih daripada sekadar kawan. Selepas pertemuan pertama, dalam diam, kedua-duanya bertukar-tukar akaun Instagram masing-masing .
“Firdaus seorang yang pemalu dan tidak biasa dengan perempuan. Dia tidak pernah bercinta sebelum ini.
“Disebabkan sikapnya yang pemalu, jadi kami tidak terus berkenalan sebaliknya hanya bertukar-tukar akaun Instagram. Dari situ kami mula berhubung,” dedah Puteri Aishah.
Anggun menggayakan persalinan busana pengantin berona putih suci daripada pereka terkenal, Rizman Ruzaini, pelakon itu terlihat cukup bahagia sehingga senyuman manis tidak pernah lekang di bibirnya.
Pandai menyimpan rahsia tentang kisah percintaannya sehingga gagal ‘dihidu’ pihak media, Puteri Aishah berkata, memang menjadi sikapnya untuk tidak berkongsi kisah percintaan kepada umum.
Benar seperti apa yang dikatakan. Tiba-tiba sahaja pada 8 November lalu, bertebaran cerita perancangan pelakon drama Rahimah Tanpa Rahim itu untuk menamatkan zaman solo bersama seorang lelaki yang merupakan ahli perniagaan.
“Memang sejak dahulu lagi saya tidak suka berkongsi kisah percintaan dengan umum. Alhamdulillah, sekarang kami sudah pun bergelar suami isteri,” katanya.
Teruskan karier
Bagi Muhammad Firdaus atau mesra disapa Daus, sebagai suami yang memahami minat dan karier si isteri, dia tidak meletakkan sebarang syarat terhadap kerjaya permaisuri hatinya itu selepas disatukan.
“Sebagai suami, saya menyokong apa yang isteri lakukan. Sejak awal perkenalan, memang kami sudah bincangkan perkara ini.
“Saya tiada masalah kalau isteri mahu teruskan kerjaya sebagai pelakon,” tuturnya pada majlis resepsi mereka di Hotel JW Marriott Kuala Lumpur.
Mengahwini seorang wanita bergelar selebriti, lelaki berusia 28 tahun itu tidak menafikan sedikit sebanyak dia pasti akan terkena tempias populariti isterinya.
Disoal tentang kesediaannya untuk mendepani hari mendatang sebagai suami kepada orang popular, Firdaus mengakui dia tidak biasa dengan perkara tersebut lebih-lebih lagi jika berhadapan dengan pihak media.
“Sejujurnya saya tidak biasa lebih-lebih lagi dengan media. Tapi insya-Allah saya akan cuba yang terbaik,” ujarnya.
Zuriat
Sambil melirikkan pandangan romantis kepada isteri di sisi, Firdaus memberitahu dia tertarik dengan wanita itu kerana sifatnya yang kelakar dan boleh ‘mengawal’ dirinya.
“Kalau saya sedang marah, dia pandai menenangkan dan membuatkan kemarahan saya hilang.
“Puteri Aishah adalah cinta pertama saya. Pertama kali melihatnya, saya dapat rasakan dia adalah bakal isteri saya suatu hari nanti,” dedah Firdaus.
Begitu juga dengan Puteri Aishah. Dia tertarik dengan suaminya kerana merasakan bahawa lelaki itu mempunyai rasa tanggungjawab yang tinggi, memiliki sifat kepimpinan dan seorang yang sangat pemaaf.
Berbicara soal cahaya mata, pasangan itu tidak meletakkan sebarang sasaran.
Namun mereka mengakui sentiasa menantikan rezeki daripada Allah SWT andai diberikan peluang menerima zuriat secepat mungkin.