SHAH ALAM – Bantahan kira-kira 9,000 penduduk Kampung Jenjarom, Kuala Langat dekat sini terhadap pembukaan operasi sebuah kilang plumbum di lokaliti berkenaan sampai kemuncak apabila mendesak kerajaan negeri membatalkannya, hari ini.
Desakan tersebut dilakukan menerusi penghantaran memorandum daripada Badan Bertindak Isu Pencemaran Plumbum Kampung Jenjarom kepada Menteri Besar, Datuk Seri Amirudin Shari
Pengerusi Badan Bertindak Isu Pencemaran Plumbum Kampung Jenjarom, Mohd. Nazri Afrizal berkata, langkah pembatalan itu bagi mengelakkan berulang kembali episod pencemaran udara seperti berlaku empat tahun lalu.
Katanya, Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMKN) Selangor pada 2019 lalu telah membuat keputusan membatalkan lesen perniagaan serta memindahkan kilang terbabit ke lokasi yang lebih sesuai.
“Bagaimanapun, MMKN pada 24 September lalu telah memberikan kelulusan kepada kilang ini.
“Kami dimaklumkan bahawa kilang itu dikendalikan oleh syarikat yang baharu,” katanya selepas menyerahkan memorandum bantahan operasi kilang terbabit di luar Bangunan Setiausaha Kerajaan Negeri (SUK) di sini, hari ini.
Kosmo! pada 24 September lalu melaporkan kira-kira 9,000 penduduk di Jenjarom di sini membantah sebarang pemberian lesen kepada sebuah syarikat dalam membuka kilang bateri di kawasan tersebut.
Yang Dipertua Majlis Perbandaran Kuala Langat, Datuk Amirul Azizan Abd. Rahim dipetik berkata, kelulusan pemberian lesen sementara kepada syarikat tersebut telah dipersetujui kerajaan negeri sebelum ini. -K!ONLINE