fbpx

Jaminan bekalan makanan berterusan selepas pandemik

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
PENANAMAN tanaman makanan dalam skala besar penting bagi mewujudkan kelangsungan bekalan sentiasa terjamin. – GAMBAR HIASAN

Oleh DATUK MOHD. AL KHAFIZ ZAINAL

PANDEMIK Covid-19 adalah krisis kesihatan yang turut memberi ancaman kepada jaminan bekalan makanan dan nutrisi kepada berjuta manusia di seluruh dunia.

Laporan Global 2020 mengenai Krisis Makanan (GRFC) menyatakan, pandemik mampu mengakibatkan kemerosotan terhadap jaminan bekalan makanan sehingga ke tahap kritikal.

Ketidakstabilan dan kejutan adalah lumrah dalam pasaran komoditi, terutamanya melibatkan makanan.
Kali terakhir krisis makanan berlaku pada 2008 dan 2009.

Semasa pandemik, sektor pertanian kekal terbuka bagi memastikan bekalan makanan tidak terganggu.

Bagaimanapun, Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) menyekat pekerja dan logistik bekalan makanan, selain mengurangkan bekalan produk agromakanan di pasaran.

Dalam jangka panjang, ia boleh menjejaskan keselamatan makanan negara.

Dalam hal ini, Kementerian Pertanian dan Industri Makanan (MAFI) mengambil beberapa strategi bagi memastikan keselamatan makanan kekal mapan semasa dan selepas krisis.

Beberapa program atau inisiatif mitigasi dilaksanakan seperti penubuhan sub kumpulan mitigasi Covid-19 yang memantau bekalan produk makanan, penubuhan Jawatankuasa Kabinet Kebangsaan Mengenai Dasar Keselamatan Makanan dan Jawatankuasa Eksekutif Keselamatan Makanan Negara.

Peranan jawatankuasa ini adalah memastikan keselamatan makanan negara sentiasa terjamin.

Dasar Agromakanan Negara 2021-2030 (DAN 2.0) dan Pelan Tindakan Dasar Keselamatan Makanan Negara (DSMN) dilihat memadai untuk menggariskan strategi serta tindakan terhadap isu-isu dalam memastikan keselamatan dan bekalan makanan negara jika berlaku perkarab buruk.

Pada masa ini, terdapat 5.8 juta hektar tanah di Malaysia diusahakan untuk kelapa sawit, berbanding hanya satu juta hektar diperuntukkan untuk tanaman makanan.

Hanya 28 peratus penduduk negara ini terlibat dalam pertanian dan mereka secara purata berumur 60 tahun.

Ramai petani berhenti menanam tanaman makanan dan mula menanam sawit.

Malah, ada antara mereka yang menjual tanah pertanian untuk dijadikan kawasan perumahan dan perindustrian.

Pada tahun 2018, industri pertanian menyumbangkan 7.9 peratus berbanding sektor perkhidmatan (56.0 peratus) dan pembuatan (22.8 peratus).

Disebabkan ini, industri pertanian sering kali dipandang rendah dan dilihat sebagai industri kurang penting.

Namun, semua ini berubah ketika penularan pandemik Covid-19.

Ia memburukkan lagi keadaan dan mengakibatkan masalah global yang lebih besar dari segi jaminan bekalan makanan, termasuk di Malaysia.

Beberapa minggu pertama PKP, kita melihat timbulnya isu ketidakcukupan roti serta masalah gangguan rantaian bekalan sayuran dari Cameron Highlands, Pahang.

Kesan Covid-19 terhadap bekalan makanan menjejaskan ekonomi negara.

SEHINGGA kini, seluas 5.8 juta hektar tanah di negara ini diusahakan penanaman kelapa sawit berbanding tanaman untuk pengeluaran makanan. – GAMBAR HIASAN

Keluaran Dalam Negara Kasar negara menguncup 17 peratus pada suku kedua 2020, lebih sejuta orang kehilangan pekerjaan dan hampir 70,000 industri kecil dan sederhana atau muflis.

Pilihan antara menyelamatkan nyawa dan kesihatan ekonomi adalah pertimbangan rumit.
Kesan ekonomi pandemik terhadap golongan berpendapatan rendah juga amat teruk, terutamanya dari segi keselamatan makanan.

Kajian menunjukkan, lebih separuh rakyat tidak mampu menyediakan RM1,000 apabila krisis berlaku.

Hampir 60 peratus isi rumah mengalami pengurangan pendapatan hingga RM700 sebulan ketika itu.

Ketidakstabilan ekonomi menjejaskan status keselamatan makanan penduduk terutama dari segi kemampuan kewangan untuk membeli dan lebih penting lagi, dalam menyediakan makanan berkhasiat untuk kanak-kanak.

Ancaman ini menjejaskan keupayaan isi rumah untuk membeli makanan dan keperluan lain. Aktiviti sektor pertanian seperti penanaman sayur-sayuran dan buah-buahan jangka pendek seperti nanas juga dilaporkan tidak berkembang sejak beberapa bulan lalu.

Ketidakstabilan dan kejatuhan harga perkara biasa dalam pasaran komoditi terutama melibatkan makanan.

Semasa krisis kewangan pada tahun 2008 dan 2009 menunjukkan, harga hasil pertanian terutamanya beras dan bijirin meningkat. Secara amnya, selepas krisis reda, harga kembali normal.

Bagaimanapun, kejatuhan harga komoditi semasa Covid-19 jauh berbeza disebabkan ia menjejaskan penawaran dan permintaan.

Tambahan pula, Malaysia sedang menghadapi gelombang ketiga Covid-19 serta varian baharu lebih agresif.

MAFI menyedari keperluan untuk mewujudkan mekanisme bersepadu melibatkan agensi dan kementerian untuk meningkatkan kebolehpercayaan dan kecekapan sistem makanan negara.

Usaha merealisasikan jaminan bekalan makanan negara merupakan tanggungjawab semua pihak di sepanjang rantaian bekalan makanan melibatkan pengeluar, pengusaha, pemborong, peruncit, pengguna, penyelidik dan kerajaan.

Kerjasama dan muafakat semua pihak terhadap objektif yang sama adalah kritikal dalam menjamin pertumbuhan serta perkembangan industri ini.
————————————————————————————————————————————————
MOHD. AL KHAFIZ ZAINAL ialah Pengerusi Eksekutif Aras Niaga Makmur Group Berhad yang juga bekas Ketua Pegawai Eksekutif Universiti Teknikal Malaysia Melaka Holding.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI