Oleh FAIZUL GHAZI
PUTRAJAYA – Pendedahan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) mengenai pembabitan ‘orang agama’ dari agensi kerajaan terbabit dengan kes rasuah adalah sesuatu yang memalukan dan tidak sepatutnya berlaku.
Yang Dipertua Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (Yadim), Nasrudin Hassan berkata, beliau terkejut dengan pendedahan dibuat SPRM baru-baru ini, bahawa terdapat banyak kes rasuah membabitkan pegawai dan kakitangan agensi agama di seluruh negara.
“Statistik rasuah di negara kita rasa agak terkejut apabila disebut oleh baru-baru ini SPRM mendedahkan bahawa pegawai dan kakitangan agensi agama tidak terkecuali daripada terpalit dengan kes rasuah.
“Bukan soal jumlah rasuah diterima kecil atau besar tetapi sepatutnya agensi agama mestilah bersih daripada rasuah. Bila sebut terpalit tidak perlu disebut berapa peratusannya cukup memalukan dan mengaibkan,” katanya ketika melancarkan kempen pencegahan rasuah di peringkat Yadim di sini hari ini.
Berikutan itu, Nasrudin berkata, beliau bertanggungjawab untuk menjaga, mengawal dan memastikan Yadim bebas daripada sebarang kes rasuah, salah guna kuasa dan penyelewengan. – K! ONLINE