SEREMBAN: Tuanku Ampuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Aishah Rohani Almarhum Tengku Besar Mahmud berkenan mencemar duli bagi menyempurnakan Majlis Pengisytiharan Konvokesyen ke-19 Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) di Dewan Tuanku Canselor, universiti tersebut di Nilai di sini hari ini.
Ketibaan baginda yang juga Canselor USIM, diiringi Pro-Canselor USIM, Tunku Besar Seri Menanti, Tunku Ali Redhauddin Tuanku Muhriz, Naib Canselor USIM, Datuk Dr. Mohamed Ridza Wahiddin dan Pro-Canselor USIM, Datuk Seri Dr. Tun Zaki Tun Azmi.
Dalam titah baginda, Tuanku Aishah Rohani, mencadangkan agar USIM bertapak selangkah lagi dengan melihat kepada teknologi blockchain yang kini semakin mendapat perhatian.
“Para saintis di USIM boleh meneroka bidang teknologi ini supaya dapat memastikan semua data penting dapat disimpan, selamat, tidak boleh diubah ataupun dihapuskan oleh pihak yang cuba untuk menggodam data dan mencuri maklumat.
“Penggunaan teknologi ini, akan membantu keselamatan dan privasi pangkalan data USIM,” titah baginda dalam Perisytiharan Pembukaan Majlis Konvokesyen Ke-19 USIM hari ini.
Baginda bertitah lagi, kehadiran pandemik Covid-19 yang melanda negara telah memberikan banyak kesan kepada sektor pendidikan.
“Kaedah pengajaran dan pembelajaran terpaksa diubah suai, sehingga menyebabkan kemampuan dan ketabahan para pensyarah serta pelajar, diuji, mental dan fizikal.
“Bagaimanapun, beta percaya semua yang berlaku mempunyai hikmah yang boleh diambil pengajaran. USIM akan tetap utuh dengan visi dan misinya untuk melahirkan ilmuwan, pemimpin dan profesional yang kompeten berasaskan prinsip dan nilai Islam,” titah baginda.-K! ONLINE