KUALA LUMPUR – Anak sulung bekas Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Mukhriz Mahathir membayar kompaun RM1,000 kerana melanggar Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP).
Meera Alyanna yang juga cucu bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad ditahan bersama suaminya dan 27 pengunjung lain di sebuah kelab malam dekat Taman Tun Dr Ismail di sini pada 21 Ogos lalu.
Mengulas insiden itu, Meera Alyanna berkata, beliau dan suaminya hadir ke kelab malam itu untuk meraikan sambutan hari lahir sebelum polis menyerbu kelab malam itu sekitar pukul 1.30 pagi dan menahan mereka kerana melanggar PKPP.
Jelas beliau, mereka semua di bawa ke balai polis dan dikenakan denda RM1,000 seorang sebelum dibenarkan pulang kira-kira pukul 5.30 pagi.
“Saya dan suami menjelaskan denda itu Selasa lalu.
“Semua anggota dan pegawai polis yang mengendalikan kes itu menjalankan tugas dengan baik, sopan dan adil terhadap kami semua. Saya menyanjung tinggi sikap profesionalisme mereka,” katanya menerusi laman media sosial semalam.
Dalam pada itu, Meera Alyanna turut menyatakan kekesalannya atas apa yang berlaku kerana berada di tempat kejadian melebihi waktu yang dibenarkan.
Kosmo! sebelum ini melaporkan seorang anak kenamaan (VIP) antara pengunjung yang ditahan di premis yang beroperasi melebihi had masa dibenarkan dalam tempoh PKPP.
Mukhriz pada sidang akhbar ketika berkempen pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Slim mengesahkan anak perempuan dan menantunya antara yang ditahan polis dalam serbuan di kelab malam itu.-K! ONLINE