AMPANG – Hujan lebat berterusan sejak petang tadi mengakibatkan dua kawasan di Kampung Lembah Jaya Utara dan Lembah Jaya Selatan dinaiki air setinggi kira-kira satu meter.
Pengarah Bomba Selangor, Norazam Khamis berkata, pihaknya menerima panggilan berhubung kejadian kira-kira pukul 7.19 malam sebelum sepasukan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Ampang dan Pandan ditugaskan ke lokasi kejadian.
“Hujan lebat berterusan telah menyebabkan kawasan tersebut dinaiki air setinggi satu meter namun telah beransur surut.
“Setakat ini, tiga mangsa telah berjaya diselamatkan dan dipindahkan ke lokasi yang lebih selamat,” katanya di sini hari ini.
Terdahulu, Kosmo! Online melaporkan, kira-kira 30 buah rumah di Kampung Lembah Jaya Utara di sini dinaiki air setinggi satu meter susulan hujan lebat petang tadi.
Kejadian banjir dikatakan berlaku bermula 7.45 malam dengan air didapati semakin naik ketika ini sehingga mula membanjiri sedikit kawasan jalan utama. – K! ONLINE.