fbpx

Pemandu mabuk ajak polis bergaduh undang padah

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Gambar hiasan

PETALING JAYA – Tindakan seorang lelaki mencetuskan provokasi dengan melontarkan kata-kata kesat selain menarik baju anggota polis mengundang padah apabila dia ditahan di Jalan Lapangan Terbang Subang menghala ke Lebuh Raya Persekutuan di sini semalam.

Difahamkan, suspek berusia 28 tahun yang berada di bawah pengaruh alkohol tersebut turut mengarahkan anggota polis membuka pakaian seragamnya untuk bergaduh.

Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner Mohamad Fakhrudin Abdul Hamid berkata, kejadian berlaku kira-kira pukul 1.15 pagi selepas sepasukan polis dari unit Kereta Peronda (MPV) ingin menahan suspek kerana menggunakan telefon ketika memandu.

“Suspek yang memandu kereta jenis Volkswagen Polo telah diarahkan berhenti namun enggan berbuat demikian sebelum berhenti secara mengejut di Kilometer 2.6 Jalan Lapangan Terbang Subang.

“Semasa pemeriksaan dijalankan, suspek yang disyaki memandu di bawah pengaruh alkohol itu telah bertindak agresif dengan melontarkan kata-kata kesat selain menarik baju anggota polis terbabit.

“Suspek turut mengarahkan anggota tersebut membuka pakaian seragamnya untuk bergaduh,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Mengulas lanjut, hasil ujian saringan awal menunjukkan tahap alkohol suspek berada di bawah paras yang tidak berisiko.

“Sementara semakan rekod lampau mendapati, suspek mempunyai dua rekod berkaitan mencuri dan ugutan jenayah. Suspek telah direman selama dua hari bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 186 Kanun Keseksaan kerana menghalang tugas penjawat awam.

“Kita tidak akan berkompromi dengan sesiapa sahaja yang cuba menghalang penjawat awam melakukan tugas. Tindakan tegas akan diambil kepada mereka yang cuba mencabar pihak polis,” tegasnya. – K! ONLINE.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI