PELUMBA berbakat negara, Adam Norrodin mengakui berpuas hati dengan pencapaiannya selepas mengakhiri Kejuaraan CEV Moto2 di tangga kelima ke seluruhan musim ini.
Pada perlumbaan pusingan terakhir CEV 2021, Adam atau dikenali sebagai Torete dilihat berpeluang untuk menaiki podium di Litar Ricardo Tormo, Sepanyol kelmarin selepas berada di posisi kedua ketika itu.
Bagaimanapun, Adam gagal mempertahankan kedudukan, sekali gus menamatkan saingan di tempat keempat dan pelumba Boscoscuro Talent Team-Ciatti, Alonso Lopez menjuarai perlumbaan dan Fermin Aldeguer tempat kedua, manakala rakan sepasukan Adam, Lucas Tulovic tempat ketiga.
Hasil keputusan itu, Adam yang beraksi bersama pasukan Liqui Moly Intact SIC Racing Team mengutip 97 mata, sekali gus memperbaiki pencapaiannya pada tahun lalu yang sekadar di tangga ketujuh dengan 79 mata.
“Syukur Alhamdulillah. Saya berjaya menamatkan saingan di kedudukan keempat. Saya berusaha keras untuk naik podium di sini tetapi saya berdepan sedikit kekurangan pada diri dan juga jentera.
“Saya memberikan 100 peratus dan hampir terjatuh, jadi saya membuat keputusan untuk mengakhiri saingan di kedudukan keempat pada perlumbaan terakhir saya musim ini.
“Musim ini adalah yang terbaik bagi saya kerana berjaya menaiki podium sebanyak tiga kali dan menamatkan saingan keseluruhan di tempat kelima.
“Saya ingin mengucapkan ribuan terima kasih kepada semua penaja, keluarga, rakan-rakan yang selalu mendoakan kejayaan saya. Saya akan sentiasa bekerja keras untuk mendapatkan hasil yang lebih baik,” kata Adam.