PUTRAJAYA – Bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Seri Dr. Zulkifli Mohamad al-Bakri berlepas ke Abu Dhabi hari ini bagi memenuhi tiga jemputan persidangan antarabangsa.
Ia termasuk Persidangan Rusia – Islamic World Strategic Vision Group, Mesyuarat Majlis Hukama’ Al-Muslimin Dan Persidangan Forum Mempromosikan Keamanan Ke-8 di Abu Dhabi.
Menerusi satu kenyataan, kehadirannya ke persidangan itu atas jemputan Menteri Luar Negeri Arab Saudi, Putera Faisal Farhan Al Saud dan Pengerusi Russia-lslamic World Strategic Vision Group merangkap Presiden Tatarstan, Rustam Minnikhanov.
Menurutnya, Zulkifli dijadual menghadiri Mesyuarat Majlis Hukama’ al-Muslimin pada 30 November ini yang bakal dipengerusikan Fadhilatul Imam al-Akbar Syeikh Ahmed alTayyib, Syeikhul Azhar merangkap Pengerusi Majlis Hukama’ al Muslimin.
“Al-‘Allamah Syeikh Abdullah Bayyah turut berbesar hati mengundang Zulkifli bagi menyertai persidangan Forum Mempromosikan Keamanan Abu Dhabi ke-8 yang bakal diadakan pada 5 hingga Disember ini,” katanya.
Katanya, jemputan itu penting bagi memberi sumbangsaran kepada pengukuhan hubungan kerjasama antara Rusia dan negara-negara Islam yang bergabung di bawah Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC).
Jelasnya, ia sekali gus menzahirkan keyakinan yang tinggi dunia luar kepada kepakaran Malaysia dalam membantu usaha-usaha diplomatik antara blok-blok negara di peringkat antarabangsa.
Pada masa sama, pembabitan Zulkifli sebagai salah seorang anggota tetap Majlis Hukama’ al-Muslimin atas lantikan Syeikhul Azhar sejak Ogos 2020, dijangka dapat memberikan impak yang lebih cemerlang kepada usaha toleransi antara agama, deradikalisasi dan keamanan di peringkat global. – K! ONLINE