PUTRAJAYA – Bekas suami atau bapa yang culas memberi nafkah kini tidak akan terlepas lagi selepas Jabatan Kehakiman Syariah Malaysia (JKSM) memaklumkan mereka akan dikenakan tindakan sekatan akaun bank.
JKSM dalam satu kenyataan berkata, tindakan itu dibuat selepas pindaan terhadap Jadual 11 Akta Perkhidmatan Kewangan 2013, Akta Perkhidmatan Kewangan Islam 2013 dan Akta Institusi Kewangan Pembangunan 2002 diluluskan dan diwartakan pada 10 Februari lalu.
“Pindaan pada perenggan lima Jadual 11 itu memasukkan pematuhan dan penzahiran maklumat bawah hiwalah iaitu pemindahan hutang daripada Penghutang Penghakiman kepada pihak ketiga iaitu institusi kewangan kepada Pemiutang Penghakiman.
“Selain itu, perenggan enam jadual sama berhubung penzahiran maklumat pemilik akaun di institusi kewangan melalui perintah mahkamah, tidak kurang daripada mahkamah sesyen turut diperluaskan kepada perintah yang dikeluarkan oleh mahkamah rendah syariah, mahkamah tinggi syariah dan mahkamah rayuan syariah.
“Berikutan pindaan itu, perintah hiwalah yang dikeluarkan oleh mana-mana peringkat Mahkamah Syariah boleh dilaksanakan oleh institusi kewangan berdasarkan kepada peruntukan undang-undang berkuat kuasa pada tarikh berkenaan (10 Februari 2020),” katanya di sini semalam.
Menurut kenyataan itu lagi, JKSM sentiasa mencari kaedah terbaik dalam membantu ibu dan anak-anak yang dinafikan hak mereka.
Jelasnya, tindakan itu merupakan antara inisiatif atau mekanisme yang cuba diterokai JKSM sejak 2019 dalam menangani bekas suami dan bapa yang culas dalam isu pemberian nafkah kepada bekas pasangan dan anak-anak mereka.
JKSM menjelaskan perbincangan lebih lanjut berhubung cadangan tindakan itu turut dibawa dalam kunjungan ke Jabatan Undang-Undang, Bank Negara Malaysia (BNM) pada 14 Mac 2019.
Sementara itu, Ketua Pengarah JKSM yang juga Ketua Hakim Syarie, Datuk Mohd. Na’im Mokhtar memberitahu, tindakan sekatan akaun bank tersebut dilaksanakan sehingga bekas suami Penghutang Penghakiman menyelesaikan bayaran nafkah mereka.
“Kami akan memaklumkan kepada pihak bekas suami yang culas berhubung tindakan sekatan bank itu,” katanya.
Kosmo! pada 16 Januari lalu melaporkan ramai bekas suami yang culas membayar nafkah anak-anak selepas bercerai mampu melunaskan ‘hutang’ itu kepada bekas isteri masing-masing dalam tempoh singkat kerana takut dipenjara apabila kes dibawa ke mahkamah syariah.
Kebanyakan bekas suami dikatakan enggan membayar nafkah tersebut kerana mereka terlampau mendengar kata-kata isteri baharu yang bimbang kononnya duit tersebut akan digunakan oleh bekas isteri dan bukannya anak-anak.
Ketua Hakim Syarie Selangor, Datuk Mohammad Adib Husain dilaporkan berkata, Enakmen Undang-Undang Keluarga Islam (Negeri Selangor) 2003 memperuntukkan hukuman penjara maksimum tiga tahun kepada individu yang gagal membayar nafkah tersebut.
“Undang-undang ada memperuntukkan sekiranya bekas suami tidak membayar nafkah, bekas isteri boleh membuat saman Penghutang Penghakiman sehingga boleh menyebabkan bekas pasangan mereka dikenakan hukuman penjara.
“Jumlah kes untuk dipenjarakan tidak begitu banyak, namun perkara itu serius kerana melibatkan tanggungjawab diri kepada Allah. Bekas suami akan segera membayar nafkah apabila diarahkan mahkamah kerana tidak sanggup berada di tirai besi,” katanya.