fbpx

Kahwin awal? Haqiem Rusli tak takut populariti jatuh

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
HAQIEM dan Sofea mengikat janji setia sebagai suami isteri selepas disatukan pada 19 November lalu.

BERMULA sebagai rakan perniagaan, kini menjadi teman sekatil dan sebantal. Kedengaran seperti klise tetapi bagi penyanyi Haqiem Rusli dan suri hatinya iaitu Wan Aina Sofea Wan Zamzuri, aturan tersebut terlalu indah buat mereka.

Begitulah sedikit gambaran mengenai kisah bagaimana cinta bertaut antara Haqiem dan isterinya yang lebih mesra disapa sebagai Sofea.

Tidak keterlaluan andai menggambarkan perasaan yang mengalir dalam jiwa seperti berada di awang-awangan tatkala mendengar setiap bait kata-kata tidak kiralah daripada Haqiem mahupun Sofea ketika menggambarkan keperibadian antara satu sama lain.

BAIK Haqiem mahupun Sofea, kedua-dua mereka menyifatkan antara satu sama lain sebagai manusia sempurna termasuklah baik budi pekerti serta memiliki jiwa membumi.

Manis. Pasangan suami isteri itu menyifatkan keperibadian antara satu sama lain sebagai individu yang sempurna.

Berulang kali perkataan tersebut terbit daripada bibir mereka. Barangkali, kesempurnaan itulah yang menjadi layar untuk mereka mengemudi bahtera rumah tangga yang dibina seawal usia muda.

‘Dia si ‘putih’ dalam hidup saya’

Menyulam cinta sejak dua tahun lalu, Haqiem mengakui hatinya mula bertaut pada Sofea selepas bertemu buat kali pertama atas urusan bisnes.

“Kalau nak tahu, restoran Santhai Village di Setapak, Kuala Lumpur yang saya usahakan selama ini bersama dengan dialah (isteri). Awalnya dia memang nak tawarkan saya sebagai duta restoran makanan steamboat itu.

“Tapi saya fikir, kenapa tidak jadi rakan kongsi juga. Akhirnya persetujuan dicapai. Bermula sebagai rakan bisnes tetapi kini berkongsi kehidupan sebagai suami isteri pula,” tuturnya.

Lebih romantis, pemilik nama penuh Ridzuan Haqiem Rusli itu turut menzahirkan rasa cinta menerusi sebuah lagu baharu berjudul Hitam Saksi Putih istimewa buat isteri tersayang.

HADIAH buat isteri tercinta, Haqiem menyampaikan sebuah lagu baharu berjudul Hitam Saksi Putih pada majlis resepsi mereka yang berlangsung di Skypark, Cyberjaya.

“Saya abadikan kisah kami dalam single baharu ini. Hitam itu jadi simbolik kegelapan dan kehadirannya pula sebagai warna putih membawa unsur positif serta menjernihkan semua sisi gelap kehidupan saya.

“Mungkin lagu tersebut tidak cukup untuk menggambarkan rasa cinta terhadapnya, namun hati saya tetap berkata, dia wanita sempurna yang Tuhan hadiahkan untuk saya,” katanya yang mula dikenali menerusi lagu Tergantung Sepi sekitar 2017.

Ditanya tentang perancangan memiliki cahaya mata, Haqiem mengakui masih terlalu awal untuk mereka berbicara mengenai zuriat ketika ini.

“Mengenai zuriat, kami tak terfikir jauh lagi. Sebaik-baiknya akan duduk berbincang mengenainya bersama.

“Usia kami masih muda dan baru sangat mendirikan rumah tangga. Kalau boleh, kami nak ‘berseronok’ dulu tetapi jika rezeki datang awal, siapa kami untuk menolaknya,” ujar penyanyi berusia 24 tahun itu.

Tak takut populariti jatuh

Ditanya sama ada dia bersedia dengan sebarang kemungkinan apabila memilih untuk berkahwin ketika sedang berada di puncak kerjaya, Haqiem menegaskan dia enggan men

gambil pusing hal tersebut kerana percaya perjalanan hidup seseorang telah ditentukan oleh-Nya.

BERMULA sebagai rakan bisnes, takdir menentukan jodoh Haqiem dan Sofea bertaut sebagai suami isteri pada tanggal 19 November lalu. – CST PRODUCTION

“Bagi saya, itu bukan satu isu yang perlu dirumitkan sebab saya sentiasa percaya bahawa rezeki diberikan oleh Allah SWT.

“Siapa saya hendak menolak takdir hanya semata-mata takut populariti jatuh. Kalau boleh saya tak mahu ambil pusing apa yang orang fikir atau cakap.

“Saya hanya ikut apa yang Tuhan sudah takdirkan. Sudah tertulis takdir kami berkahwin pada 19 November dan saya sama seperti manusia lain yang punya naluri berkahwin serta inginkan pasangan hidup,” ujarnya yang mula dikenali menerusi program Idola Kecil pada 2011.

Ada perasaan cemburu

Berkahwin dengan penyanyi yang memiliki ramai peminat terutama dalam kalangan wanita, Sofea mengakui dia tidak boleh lari daripada dihurung perasaan cemburu.

Cuma akuinya, dia perlu menghakis rasa sebegitu dan bersikap terbuka.

“Saya belajar tolak tepi sifat tersebut sebab sekarang saya sudah menjadi tulang belakang dia. Jika saya cemburu, perkara tersebut akan beri impak pada kerjayanya nanti,” tutur anak kelahiran Kelantan itu.

MENEPIS pandangan sinis sesetengah pihak, Haqiem dan Sofea enggan ambil pusing isu perdebatan netizen tentang kahwin muda.

Memilih mendirikan rumah tangga pada usia seawal 19 tahun turut menjadi bahan perdebatan netizen.

Bukan satu hal yang besar, Sofea bagaimanapun melihat isu tersebut tidak sepatutnya diperdebatkan oleh umum.

“Usia muda atau tua, bukan isu besar pun sebab keputusan saya ini satu perkara yang dituntut oleh agama iaitu menghalalkan hubungan.

“Kalau boleh saya mohon semua pihak dapat mendoakan rumah tangga kami kekal sampai ke syurga,” katanya yang mengakui Haqiem seorang lelaki penyayang dan baik budi pekerti.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI