BERLIN – Meskipun hilang empat pemain, namun Bayern Munich dijangka tidak berdepan masalah besar untuk menundukkan Dynamo Kiev dalam aksi Liga Juara-Juara di Stadium Olympiyskiy awal pagi esok.
Gergasi Jerman itu terpaksa menyaksikan empat pemainnya iaitu Serge Gnabry, Jamal Musiala, Eric-Maxim Choupo-Moting dan Michael Cuisance terlepas untuk beraksi pada perlawanan itu kerana perlu menjalani kuarantin selepas menjadi kontak rapat pesakit Covid-19.
“Keempat-empat pemain itu perlu melakukan proses isolasi berikutan perjanjian dengan pihak berkuasa tempatan.
“Mereka merupakan kontak rapat dengan seseorang yang disahkan positif Covid-19,” menurut kenyataan rasmi Bayern.
Kes Covid-19 mula merebak dalam skuad Bayern sejak kebelakangan ini menyaksikan dua pemain pertahanan, Niklas Suele dan Josip Stanisic dan seorang staf pasukan diarahkan menjalani kuarantin.
Ia tidak terhenti di situ apabila pemain tengah, Joshua Kimmich pula menjalani kuarantin dan terlepas beberapa perlawanan termasuk ketika Bayern tewas 1-2 kepada Augsburg pada aksi Bundesliga, Sabtu lalu.
Bagaimanapun, ketua jurulatih Bayern, Julian Nagelsmann tidak terlalu bimbang dengan situasi itu kerana beliau masih mempunyai barisan pemain simpanan yang memiliki kemampuan selain lebih cenderung untuk melihat peningkatan ditunjukkan barisan pertahanannya.
“Saya sentiasa berdiri di belakang pasukan saya. Namun, kami perlu berusaha dan perbaiki kelemahan supaya kami tidak melepaskan gol-gol mudah seperti terjadi ketika menentang Augsburg,” jelasnya. – AGENSI