BARCELONA – Jaguh Portugal, Benfica menjadi ujian sebenar buat Ketua Jurulatih Barcelona, Xavi Hernandez sama ada beliau mempunyai kemampuan untuk menyelamatkan nasib gergasi Sepanyol tersebut.
Hanya kemenangan ke atas Benfica di Camp Nou awal pagi esok akan mengesahkan tiket Barcelona ke peringkat kalah mati Liga Juara-Juara musim ini.
Sehubungan itu, Xavi, 41, menganggap perlawanan tersebut sebagai aksi final buat skuad bimbingannya selepas terdahulu berjaya melepasi halangan seteru setempat, Espanyol 1-0 dalam saingan La Liga kelmarin.
“Kami semakin tenang selepas memenangi perlawanan pertama. Ia sememangnya meningkatkan semangat dan moral setiap pemain.
“Namun, kami tidak boleh terlalu teruja dan melupakan prinsip kami. Kami perlu anggap pertemuan Selasa ini (awal pagi esok) sebagai satu perlawanan akhir dan memberikan segala-galanya dalam aksi itu.
“Saya tidak mahu melihat aksi itu sebagai pertempuran fizikal, sebaliknya pemain perlu memahami corak permainan sendiri. Kami perlu memenangi bola dan mendominasi perlawanan itu,” katanya.
Sebagai rekod, Barcelona kini menduduki tangga kedua Kumpulan E Liga Juara-Juara dengan enam mata, hanya dua mata mengatasi Benfica di tempat ketiga.
Seandainya seri atau tewas, Barcelona memilih jalan sukar kerana bakal berhadapan pasukan yang sudah mengesahkan tempat ke peringkat kalah mati iaitu Bayern Munich pada aksi terakhir Kumpulan E bulan depan. – AGENSI