KEMAMAN – Empat deretan rumah kedai berusia lebih 60 tahun musnah dalam kebakaran di Jalan Sulaimani berhadapan Pasar Besar Chukai di sini hari ini.
Kesemua individu termasuk pengusaha dan pelanggan premis perniagaan terlibat sempat menyelamatkan diri dalam kebakaran yang berlaku pada pukul 2.30 petang itu.
Ketua Zon Dua Jabatan Bomba dan Penyelamat Terengganu, Azman Alias berkata, sepasukan anggota bomba bergegas ke lokasi kejadian sebaik menerima maklumat kebakaran itu pada pukul 2.34 petang.
“Kebakaran berjaya dikawal pada pukul 3.18 petang. Cuaca panas, angin kencang dan struktur bangunan diperbuat daripada kayu menyebabkan api cepat marak dan merebak.
“Begitupun kepantasan anggota bomba memadamkan kebakaran berjaya menyelamatkan dua lagi rumah kedai dalam deretan tersebut daripada turut sama terbakar,” katanya ketika ditemui di lokasi kejadian di sini hari ini.
Azman berkata, api berjaya dipadamkan sepenuhnya pada pukul 6 petang.
Tambah beliau, punca kejadian serta anggaran kerugian masih dalam siasatan. – K! ONLINE