MANCHESTER – Bekas pengurus Manchester United, Ole Gunnar Solskjaer mengakui bahawa keputusannya untuk melepaskan jawatan tersebut tepat kerana percaya masanya sudah tiba dan tanpa sebarang rasa kesal.
Menurutnya, beliau berbangga kerana diberi peluang mengemudi pasukan itu sebelum ini selain menganggap ia adalah seperti mimpi yang menjadi nyata.
“Anda tahu bagaimana kelab ini memberi makna yang besar buat saya. Saya keluar dari sini menerusi ‘pintu hadapan’ kerana saya fikir semua orang mengetahui bahawa saya sudah memberikan segala-galanya untuk kelab ini.
“Bagaimanapun, saya gagal untuk memberikan keputusan dan kejayaan seperti yang diinginkan oleh kelab. Jadi, saya fikir sudah tiba masanya untuk saya pergi.
“Hanya ada satu impian dalam hidup anda. Apabila anda menjadi seorang pemain, kemudian menguruskan pasukan remaja dan pembangunan, sudah tentu impiannya hanyalah satu, menguruskan kelab ini. Saya sudah pun dapat meraih impian tersebut,” katanya.
Biarpun dikritik hebat ekoran kegagalan demi kegagalan yang dilalui oleh United sebelum ini, Solskjaer mengakui bahawa para pemainnya pernah memberikan impak untuk kelab itu sebelum ini dan turut berterima kasih dengan sokongan yang diberikan oleh semua yang berada di Old Trafford.
“Saya perlu berterima kasih kepada semua pemain kerana sepanjang saya berada di sini, mereka adalah yang terbaik. Ada yang datang dan ada yang pergi, tetapi saya gembira bekerja bersama-sama mereka,” jelasnya.
Dalam pada itu, Solskjaer mengakui memberi sepenuh sokongan kepada Michael Carrick yang ditugaskan sebagai pengurus sementara menggantikannya terutama ketika United bakal berdepan Villarreal pada aksi Liga Juara-Juara.
“Michael (Carrick) akan mengambil alih tugas dan saya sangat menghormatinya. Saya menjadi sangat emosi apabila melihat Michael kini mengemudi pasukan, saya sangat sayangkannya. Saya percaya United akan menjadi lebih baik, saya akan memerhati dan memberikan mereka sokongan,” ujarnya. – AGENSI