PETALING JAYA – Hasil hubungan isteri curang bersama individu lain bukanlah tanggungjawab pasangan bersama jika si suami itu tidak mengiktiraf status anak tersebut.
Peguam Syarie dan Konsultan Perundangan Islam, Fahmi Ramli berkata, hasil hubungan terlarang itu boleh di ‘nasab’ (bin) oleh pasangan jika dia mahu, tetapi si suami juga boleh menafikan tentang itu juga.
“Si isteri mengandungkan anak bukan benih daripada suami yang sah, pertama sekali kita perlu tahu status anak itu terlebih dahulu sama ada anak tersebut sah taraf ataupun zina.
“Jika wanita itu melahirkan anak tersebut, boleh dinasabkan pada suami yang sah, tetapi kalau si suami menafikan, maka dia tidak boleh menanggung anak tersebut dengan syarat perlu melakukan sumpah laknat atas perbuatan pasangannya,” katanya dalam akaun Facebook.
Tambahnya lagi, jika si suami tidak melakukan sumpah laknat, maka ia akan kekal dengan tanggungannya, manakala si pelaku lelaki pula tidak akan ada apa-apa tanggungjawab kerana dia hanyalah orang ketiga yang melakukan perbuatan zina.
“Nafkah ini pada hakikatnya adalah tanggungjawab kepada bapa yang sah, jika si suami tidak melakukan sumpah laknat itu, dia tetap kena tanggung anak tersebut walaupun bukan daripada benihnya.
“Manakala bagi si pelaku pula, dia hanyalah orang ketiga dalam hubungan tersebut kerana melakukan zina bersama isteri orang dan dia tidak dipertanggungjawabkan pada anak itu walaupun itu benihnya,” ujarnya.
Sehingga kini, perkongsian tersebut meraih lebih 8,400 tanda suka dan 1,300 komen di laman sosial Facebook. – K! ONLINE