BENTONG – Upah hantar lori muatan rokok seludup ke lokasi tertentu dan tinggalkan kunci pada bahagian tayar lori. Itu antara modus operandi baharu seakan ‘keldai dadah’ yang dikesan digunakan sindiket penyeludupan rokok bagi mengelakkan mereka ditahan pihak berkuasa.
Timbalan Ketua Polis Pahang, Datuk Mohd. Yusri Hassan Basri berkata, dalam operasi terbaharu kelmarin polis berjaya merampas 333 kotak besar rokok disyaki tidak dibayar cukai kastam bernilai RM3.3 juta selepas menahan sebuah lori di Kilometer 55.2 Lebuh Raya Kuala Lumpur-Karak di sini.
Katanya, dalam operasi berkenaan polis turut menahan pemandu lori berusia 43 tahun dan rakannya berusia 30 tahun yang memandu sebuah kereta serta menyita kedua-dua kenderaan berkenaan.
“Hasil soal siasat mendapati pemandu lori berkenaan mengambil upah mengambil lori berkenaan dari Kemaman, Terengganu dengan upah sebanyak RM1,500 dan suspek memberitahu lori tersebut akan ditinggalkan di deretan kedai di satu lokasi dengan kunci diletakkan di bahagian tayar.
“Pemandu lori berkenaan mendakwa tidak mengenali dalang dalam sindiket ini dan siasatan masih giat dilakukan yang mana kedua-dua suspek direman selama empat hari sehingga 23 November ini,”katanya dalam sidang akhbar di Ibu Pejabat polis Daerah (IPD) Bentong di sini, hari ini.
Menurut Mohd. Yusri rampasan rokok bernilai RM3.3 juta ini merupakan rampasan terbesar rokok tidak berbayar cukai bagi polis kontinjen Pahang tahun ini dan nilai rampasan dan sitaan dianggarkan bernilai RM3.5 juta.
Dalam pada itu beliau berkata, kedua-dua suspek ditahan reman sehingga 23 November ini dan kes disiasat di bawah Seksyen 135 (1)(D) Akta Kastam 1967.
Katanya, berdasarkan rekod kedua-dua suspek didapati baru kali pertama menyeludup rokok dari Terengganu untuk dihantar ke Kuala Lumpur dan suspek yang merupakan penganggur tidak mempunyai rekod jenayah lampau.
“Ujian air kencing terhadap kedua-dua suspek didapati negatif dan pihak polis sedang giat berusaha untuk mengesan pemilik lori berkenaan,” jelasnya. – K! ONLINE