PUTRAJAYA – Kaedah dakwaan melampau atau ‘overclaim’ dalam pemasaran adalah haram kerana ia mempunyai unsur menipu dan memakan harta orang lain dengan cara yang batil.
Itu penjelasan diberikan Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan (PMWP) berhubung hukum kaedah dakwaan melampau khususnya dalam mempromosikan dan mengiklankan produk atau barangan.
Menurut PMWP, penjual mestilah bersikap amanah, jujur dan menerapkan nilai-nilai yang dianjurkan Islam ketika melakukan aktiviti pengiklanan.
“Kaedah pengiklanan dengan cara dakwaan melampau dalam kamus Merriam-Webster merujuk kepada perbuatan untuk membuat dakwaan palsu atau berlebih-lebihan tentang sesuatu produk.
“Oleh itu, perbuatan ini adalah sama seperti menipu yang dilarang dalam Islam,” katanya menerusi artikel Irshad Al-Fatwa Siri Ke-646: Hukum melakukan dakwaan melampau dalam pemasaran, dikeluarkan hari ini.
Katanya, kaedah pemasaran melampau ini juga dilihat bertujuan memanipulasi seseorang supaya tertarik dengan tawaran dan dakwaan penjual itu dan seterusnya membeli produk tersebut.
Namun, jelasnya, apabila produk tersebut digunakan, kesannya tidak sama seperti yang didakwa.
Tambah PMWP, perbuatan sebegini adalah dilarang dalam Islam kerana ia seolah-olah memakan harta orang lain dengan cara-cara menipu. – K! ONLINE