GEORGE TOWN – Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP) menggesa Jabatan Perikanan dan Maritim Malaysia menyiasat dan mengambil tindakan segera bagi mengatasi masalah pencerobohan bot pukat tunda di kawasan tangkapan nelayan pantai di Pulau Betong, Balik Pulau dekat sini.
Aktiviti yang dikatakan menjejaskan lebih 200 nelayan pantai itu dikatakan sudah lama berlaku, namun masih tiada tindakan berkesan oleh pihak berkuasa.
Presiden CAP, Mohideen Abdul Kader berkata, ancaman oleh bot-bot pukat tunda yang berpangkalan di Batu Maung dan Teluk Bahang menyebabkan sumber pendapatan nelayan pantai di kawasan berkenaan terjejas teruk.
Lebih malang tambahnya, aktiviti nelayan dari Pulau Pangkor, Perak yang menggunakan lampu limpah berkuasa tinggi turut memberi kesan buruk ke atas hidupan laut di perairan berkenaan.
“Dalam tinjauan, nelayan pantai yang terlibat masalah itu memberitahu ia menyebabkan hasil tangkapan mereka merosot mencecah 50 peratus setiap kali turun ke laut.
“Mereka mendakwa bot pukat tunda dan nelayan dari Pulau Pangkor, Perak kerap menjalankan aktiviti pada waktu malam.
“Banyak benih atau anak ikan termasuk yang berkualiti tinggi mati dan musnah dan antara anak ikan yang menjadi mangsa ialah ikan kembung, bawal hitam, jenahak, tenggiri dan juga anak sotong,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Menurut Mohideen, pihaknya kesal kerana isi itu masih gagal ditangani pihak berkuasa walaupun banyak aduan dibuat oleh nelayan terbabit sejak berpuluh-puluh tahun lalu.
“Kita percaya jika keadaan itu dibiarkan bukan saja kehidupan nelayan pantai akan terjejas dengan lebih teruk, malah sumber perikanan negara mungkin mengalami kepupusan pada masa akan datang.
“Ini kerana sebuah bot pukat tunda memerangkap dan membunuh lebih 60 peratus anak ikan (benih) di samping mencemarkan laut dan memusnahkan tempat pembiakan ikan,” katanya. – K! ONLINE