AMPANG – Pemandu yang merempuh masuk sebuah kedai perabot di Kampung Pasir semalam disahkan pitam ketika memandu.
Ketua Polis Daerah Ampang Jaya, Asisten Komisioner Mohamad Farouk Eshak berkata, rempuhan tersebut turut mengakibatkan seorang pekerja berusia dalam lingkungan 20-an di kedai berkenaan meninggal dunia ketika menerima rawatan di Hospital Ampang semalam.
“Kemalangan berlaku ketika pemandu berusia 36 tahun itu sedang memandu dari arah Kajang menghala ke Pahang namun telah hilang kawalan dipercayai pitam dan tidak sedarkan diri semasa memandu.
“Akibat kejadian tersebut, mangsa telah terbabas dan merempuh masuk ke dalam sebuah kedai perabot sehingga mengakibatkan seorang pekerja di kedai berkenaan meninggal dunia. Sampel darah pemandu telah diambil dan mendapati mangsa tidak mabuk,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Mengulas lanjut, kes disiasat dibawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 disebabkan memandu dalam keadaan cuai.
Terdahulu, Kosmo! melaporkan pemandu itu memandu dalam keadaan mabuk sehingga merempuh kedai perabot terbabit menyebabkan pekerja kedai itu tidak sedarkan diri.
Pengarah Bomba Selangor, Norazam Khamis berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan kira-kira pukul 6.14 petang berkenaan kemalangan itu. – K! ONLINE