fbpx

Perampas Boeing 727 gagal ditemui selepas 50 tahun

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
AMBAR diterbitkan oleh FBI pada 27 Mac 2008 menunjukkan lakaran wajah D. B. Cooper. – AFP

SEATTLE – Menjelang sambutan Thanks­giving (Hari Kesyukuran) pada 1971, seorang lelaki berusia dalam lingkungan 40-an hadir ke kaunter lapangan terbang dan membeli tiket sehala untuk pe­nerbangan jarak pendek dari Portland menuju ke Seattle.

Dalam masa beberapa jam saja, dia memegang sebuah beg berisi wang berjumlah AS$200,000 (RM836,700) atau sekitar AS$1.3 juta (RM5.4 juta) berdasarkan nilai sekarang dan terjun daripada pesawat yang dirampas, seterusnya gagal ditemui.

50 tahun kemudian kes lelaki berkenaan yang digelar media sebagai D.B. Cooper menjadi satu-satunya insiden rampasan pesawat yang gagal dirungkai dalam sejarah Amerika Syarikat.

Biro Siasatan Persekutuan (FBI) menamakannya sebagai ‘seorang lelaki pendiam berusia pertengahan 40-an dan memakai sut perniagaan bersama tali leher hitam serta baju putih.’

Dia memesan arak bourbon dan soda sementara menunggu pesawat berlepas.

PESAWAT Boeing 727 yang dirampas oleh lelaki misteri tersebut. – SKYJACK: THE HUNT FOR D.B. COOPER

Komplotnya mudah. Selepas pesawat berlepas, Cooper menyerahkan sekeping nota kepada kru kabin. Apabila kru berkenaan tidak menunjukkan sebarang reaksi, dia menghampirinya dan berkata: “Cik, anda patut melihat nota ini. Saya membawa sebutir bom.”

Selepas melihat wayar berselerakan pada beg bimbitnya, pramugari yang ketakutan itu menulis tuntutan Cooper iaitu empat payung terjun dan wang tunai AS$200,000 seterusnya membawa nota tuntutan itu kepada juruterbang.

Apabila pesawat berkenaan mendarat di Seattle, Cooper membenarkan 36 penumpang beredar sebagai pertukaran kepada wang dan payung terjun yang dibawa masuk ke dalam penerbangan itu oleh FBI.

Dia yang menjadikan kru pesawat sebagai tebusan, menuntut kapal terbang itu berlepas dan terbang rendah, kali ini me­nuju ke Bandar Raya Mexico.

Bagaimanapun, di sebuah lokasi di antara bandar Seattle dan Reno dalam negeri Nevada, Cooper terjun melalui pintu belakang pesawat jenis Boeing 727 tersebut ke dalam kegelapan malam ketika musim sejuk.

FBI melancarkan siasatan dan operasi memburu suspek. Bagaimanapun, selepas beberapa minggu, pasukan penyiasat gagal membuat sebarang pene­muan.

Lebih lima tahun kemudian dengan lebih 800 suspek disoal siasat, pihak berkuasa masih gagal menemui perampas tersebut dan payung terjunnya.

Persoalan sama ada dia mati semasa terjunan tersebut juga masih gagal untuk dijawab.

FBI akhirnya menutup kes tersebut pada tahun 2016 untuk memberi tumpuan kepada siasatan lain yang lebih utama. – AFP

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI