PETALING JAYA – Selebriti Malaysia pertama yang bergelar Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Rim, Datuk Dira Abu Zahar berjanji melaksanakan tanggungjawab sebagai wakil rakyat dengan baik selepas mendapat mandat daripada penduduk kawasannya.
Katanya, biarpun menggalas amanah besar, dia bersyukur dengan rezeki Allah SWT untuk terus menabur bakti mewakili suara penduduk Rim yang diperoleh menerusi sokongan parti Barisan Nasional (BN).
“Pertama sekali, saya panjatkan kesyukuran kepada Allah SWT kerana dengan kekuasaan-Nya telah mengangkat saya sebagai wakil rakyat Rim dan percayalah tanggungjawab di atas pundak ini begitu berat dan akan cuba saya galas sebaik mungkin.
“Keduanya, saya ucapkan ribuan terima kasih atas doa dan sokongan yang mengiringi saya sepanjang tempoh berkempen ini. Khususnya buat ahli keluarga saya, Mantan ADUN Rim, Datuk Wira Ghazale Muhamad, akar umbi dan pemimpin parti Barisan Nasional (BN) dan juga rakyat keseluruhannya.
“Ketiga, dalam tempoh seharian ini juga selain menyantuni masyarakat, saya terus ambil inisiatif mengutamakan fokus kepentingan di Rim bagi tindakan lanjut,” tulisnya menerusi hantaran dalam Facebook, malam tadi.
Dira atau nama sebenarnya Khaidhirah Abu Zahar, 37, menjadi selebriti pertama bergelar wakil rakyat selepas menang Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka bagi Dewan Undangan Negeri (DUN) N25- Rim, kelmarin.
Menerusi perkongsian sama, dia mahu menzahirkan rasa terima kasih yang tidak terhingga kepada seluruh rakyat Melaka kerana memberikan kemenangan besar dan begitu bermakna kepada BN dan UMNO.
Katanya lagi, dengan kestabilan yang ada, dia yakin Melaka akan terus menerima kemakmuran bersama iltizam penuh semangat positif yang membawa kepada transformasi politik di peringkat Dewan Undangan Negeri (DUN) Melaka.
Dalam perkongsian pertamanya menerusi media sosial selepas menang kelmarin, Dira turut meletakkan tiga tanda pagar iaitu #RimDiHatiKu, #MuafakatRakyatDemiKemakmuran dan #KestabilanDemiKemakmuran.
Terdahulu, pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka menyaksikan Dira yang juga calon BN DUN Rim menewaskan dua lagi pencabar, Azalina Abdul Rahman daripada Perikatan Nasional (PN) dan Prasanth Kumar mewakili Pakatan Harapan (PH).
Dira menang besar dengan majoriti 1,327 menewaskan dua calon lain itu selepas memperoleh sebanyak 4,037 undi.
Kemenangan itu secara tidak langsung merealisasikan impiannya mengikut jejak langkah ayah tercinta dalam politik, yang juga bekas Ketua Menteri Melaka kelapan, Allahyarham Datuk Seri Abu Zahar Ithnin.
Sepanjang menceburi arena seni, lulusan Ijazah Sarjana Muda Undang-Undang Universiti Teknilogi Mara (UiTM) turut menyerlah sebagai pengacara program seperti Fulus Mania dan Melodi.
Antara drama lakonannya termasuk Tahajud Cinta, Dahlia, Chow Kit, Longkai, Cinta Tanpa Suara, Dua Kali Mencintaimu, Rona Roni Macaroni, Delima, Cinta Tanpa Suara dan Aku Bukan Dia.
Dira juga pernah duduk di kerusi pengarah bagi pementasan teater di Istana Budaya pada 2016 berjudul Mencari Sumayyah yang dipentaskan selama seminggu selain drama sitkom 3 Dara Kg.com. – K! ONLINE