YANGON, MYANMAR – Sekurang-kurangnya 15 orang lemas di Myanmar ketika cuba melintasi sebuah tambak yang ditenggelami air untuk sampai ke sebuah kuil Buddha (Pagoda) bagi meraikan satu festival, semalam.
Beribu-ribu penganut Buddha cuba untuk mengunjungi Pagoda Kyeik Hne yang terletak di atas singkapan berbatu kira-kira tiga kilometer dari pantai berhampiran bandar Thanbyuzayat, di bahagian selatan negeri Mon.
“Kebiasaannya, kami membenarkan orang ramai datang pada pukul 6:30 pagi, namun mereka tidak mendengar arahan dan cuba menyeberangi tambak terlalu awal,” kata pegawai tempatan, Nai Sahai Eain.
Pegawai tempatan berkata, ada dalam kalangan mangsa yang maut apabila cuba menyeberangi tambak selebar kira-kira empat meter itu yang tidak ditanda dengan betul dalam keadaan air pasang.
Seorang petugas kecemasan, Ko Kyaw Thu berkata, 15 mayat telah dibawa ke hospital dan tiga orang lagi dilaporkan masih hilang.
Seorang penduduk tempatan, Nai Wona menjelaskan bahawa tambak tersebut tidak ditandakan dengan jelas serta menyukarkan orang ramai untuk menyeberang. – AFP