PARIS – Selepas sering dihimpit penyudah tumpul, penantian lama Lionel Messi untuk menghasilkan gol pertama di Ligue 1 terlerai ketika bantu Paris Saint-Germain menang 3-1 ke atas Nantes, semalam.
Bagaimanapun, kemenangan PSG itu turut dipalit dengan layangan kad merah yang diterima penjaga golnya, Keylor Navas.
Sejak menyertai PSG, Messi sudah pun menghasilkan tiga gol di pentas Liga Juara-Juara, namun sentuhannya tidak begitu menyerlah di saingan domestik.
Bagaimanapun, jaringan Messi itu hanya hadir tiga minit sebelum aksi berakhir.
“Saya sudah pun menjaringkan gol di Liga Juara-Juara. Saya ada peluang (dalam saingan liga) tetapi gagal menyudahkannya.
“Dalam perlawanan ini, saya memiliki beberapa peluang dan situasi sama juga berlaku dalam perlawanan sebelumnya.
“Saya begitu mengharapkannya dan saya cukup gembira dengan kejayaan gol pertama ini,” kata Messi.
Kemenangan itu membolehkan PSG kini mengumpul 37 mata dan selepas ini bakal berkunjung ke Manchester City untuk saingan Liga Juara-Juara.
Stade Rennais yang menang 2-0 ke atas Montpellier naik ke tempat kedua Ligue 1, mengumpul 25 mata. – AGENSI